Semua
undang-undang dan peraturan dalam negara kita ini, melainkan undang-undang
syariah, adalah untuk semua rakyat jelata dan penduduk, termasuklah orang
asing.
Jadi apabila
kita buat dan kuatkuasakan sesuatu undang-undang, kita bukan saja tak boleh
pilih bulu malahan kita kena adil kepada semua pihak.
Kunta Kinte
datang dari generasi lama. Generasi Kunta Kinte adalah generasi lepas Perang
Dunia Kedua yang merasai dua darurat – darurat komunis 1948-1960 dan darurat 13
Mei 1969.
Oleh sebab itu,
pendirian Kunta Kinte berkenaan undang-undang macam Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA), Ordinan Darurat (OE) dan Akta Kediaman Terhad boleh jadi tak sama
dengan orang muda yang lahir dan besar dalam suasana aman damai.
Bagi Kunta
Kinte, tak banyak beza kampung baru di tepi hutan yang dipagari kawat duri dan
dikawal polis, tentera dan Home Guard pada zaman keganasan komunis dengan taman
perumahan di Kuala Lumpur yang dipagari kawat duri dan dijaga pengawal
keselamatan Nepal sekarang ini.
Kedua-duanya
berpunca daripada ancaman ke atas nyawa dan harta benda. Kedua-duanya bukti
bahawa keamanan dan keselamatan sentiasa terdedah kepada ancaman.
Tapi
undang-undang yang Kunta Kinte sebut itu sudah tak ada lagi. Sudah dimansuhkan.
Jadi orang daripada generasi dinosaur macam Kunta Kinte berasa gusar. Inilah
bala jadi dinosaur yang tak pupus. Kita makin hari makin ditinggalkan oleh masa
dan keadaan. Masa dan keadaan yang kita kenal dan selesa makin hari makin pupus.
Tak banyak yang
boleh orang tua macam Kunta Kinte buat. Generasi muda rasa mereka lebih kuat,
lebih bersemangat, lebih matang dan lebih pandai. Kalau kita pertahan sangat
pendirian kita, mereka kata kita nostalgia. Silap-silap mereka kata kita
nyanyuk atau gila.
Tak apalah, cuma
Kunta Kinte harap kita tak tuang air dari tempayan semata-mata kerana dengar
guruh di langit atau pipiskan lada sedangkan burung masih terbang tinggi di
angkasa.
Undang-Undang
Untuk Semua
Undang-undang
adalah untuk semua. Jadi suka tak suka, Kunta Kinte kena terima. Sama ada Kunta
Kinte sokong orang atau pihak yang buat undang-undang itu adalah perkara lain.
Undi, kata orang, adalah rahsia.
Baru-baru ini
Kunta Kinte baca berita berkenaan tiga orang pertama kena tahan bawah Akta
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang ceritanya ganti ISA.
Mereka dicamkan
sebagai Yazid Sufaat, Mohd Hilmi Hasim dan Halimah Husin. Ikut kenyataan akhbar
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mereka disyaki jadi dalang merekrut
rakyat Malaysia untuk kegiatan ganas Jemaah Islamiyah.
Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pula kata, mereka disyaki ada
rangkaian keganasan yang luas dan dianggap ancaman peringkat tinggi dalam dan
luar Malaysia.
Walaupun mereka
Melayu dan Islam, Kunta Kinte rasa eloklah pihak berkuasa bagi amaran dan
penjelasan yang undang-undang itu adalah untuk semua tak kira bangsa, agama
atau kerakyatan.
Pihak berkuasa
wajib elak bagi gambaran seolah-olah akta itu untuk tangkap dan sekat orang
Islam saja. Kunta Kinte takut kalau kita tak buat penjelasan macam itu, sekali
lagi orang akan kaitkan keganasan dengan orang Islam.
Betullah ada
banyak gerakan melampau dan ganas babitkan orang Islam, tapi keganasan dan
ekstremisme tidak terhad kepada orang Islam saja.
Jangan Abai
Pelampau Agama Lain
Kunta Kinte
sokong pihak berkuasa bertindak tegas ke atas pengganas dan pelampau Islam,
tapi jangan abai atau pandang ringan gerakan ganas dan melampau dalam kalangan
agama dan bangsa lain. Boleh jadi mereka pun sama ganas dan sama ekstrem cuma
cara mereka bergerak lebih cekap dan tersembunyi.
Dengan
kebanjiran orang asing dari berbagai-bagai negara dan benua, termasuk yang
amalkan komunisme dan ajaran agama yang melampau, kita tak boleh tolak
kemungkinan ideologi dan ajaran mereka berjangkit dan merebak di negara kita
macam wabak penyakit yang dulu dah hapus tapi dibawa masuk semula oleh
pendatang asing.
Hatta di Amerika
Syarikat yang kononnya bebas dan demokratik itu pun mereka tak benarkan
keganasan dan ekstremisme agama. Selepas peristiwa serangan pengganas 2001,
mereka buat undang-undang Homeland Security yang sama dengan ISA.
Kita yang baca
surat khabar tentu dah tahu macam mana baru-baru ini, ketua kultus (cult
leader) Amish dihukum penjara 15 tahun kerana cukur janggut dan potong rambut
sembilan lelaki dan perempuan yang enggan ikut atau bantah ajaran sesat yang
dia bawa.
Bagi orang
Amish, iaitu satu taifah (sect) Kristian di Amerika, lelaki yang berkahwin
wajib simpan janggut dan perempuan mesti berambut panjang. Mereka ini hidup
serba sederhana dan tidak dibenarkan guna peralatan moden macam kenderaan
bermotor dan elektrik.
Ketua kultus
Amish bernama Samuel Mullet yang berusia 67 tahun itu didapati bersalah amalkan
jenayah benci (hate crime) berasaskan kepercayaan agama. Lima belas orang
pengikutnya dikenakan hukuman penjara daripada satu hingga tujuh tahun.
Di China pula,
lebih 70 orang ditangkap kerana disyaki terbabit hasut orang awam bakar diri
bantah pemerintahan China di Tibet.
Jadi Kunta Kinte
harap pihak berkuasa berhati-hatilah sikit apabila bercakap atau bertindak
sebab kita tidak mahu cetuskan gambaran iaitu semua yang buruk dan jahat di
negara kita, orang Melayu dan Islam yang buat. Janganlah kita terikut-ikut
dengan Barat yang memang suka buruk-burukkan Islam dengan macam-macam gelaran
dan label. Wallahualam.
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment