“SAYA nasihatkan
TMJ (Tunku Mahkota Johor) supaya jadi presiden (bola sepak negeri) serupa
dengan presiden-presiden lain. Ada ramai presiden persatuan bola sepak di negara
ini. Sama ada beliau, Wan, Nik, Datuk, Tengku, Raja atau Sultan sekalipun, mari
kita ikut satu peraturan sahaja.”
Itu antara
nasihat yang diberikan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri
Annuar Musa terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku
Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) semalam yang dianggap mencetuskan
perkara-perkara ‘pelik’ yang membawa kegawatan dalam arena bola sepak negara
masa ini.
Annuar mengulas
mengenai perkembangan mutakhir berhubung isu perpindahan Norshahrul Idlan
Talaha dan yang terbaru apabila pasukan Johor Darul Takzim yang dikatakan
membawa Anggota Rejimen Ke-21 Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan
Muhammad IV.
Bagaimanapun,
PBNJ menjelaskan kelmarin bahawa pasukan tersebut bukan anggota GGK sebaliknya
askar Timbalan Setia Negeri (TSN) atau Johor Military Force (JMF) yang
ditugaskan untuk mengawal pergerakan kerabat Johor yang menghadiri majlis
tertentu termasuk mana-mana acara sukan.
“Sebelum ini
belum pernah berlaku kegawatan dalam bola sepak negara. Sekarang timbul soal
mengambil pemain menerusi ‘pintu belakang’, bawa masuk askar dalam stadium, ini
semua hanya dibawa oleh PBNJ sahaja.
“Jadi nasihat
saya sebagai orang tua kepadanya, apapun dia adalah rakan sejawat saya. Lupakan
latar belakang kita, saya, Tan Sri dan beliau, Tunku.
“Saya mahu
nasihat beliau dan beliau juga pernah menasihati saya. Tak usah bawa benda
pelik-pelik dalam bola sepak negara. Buat seperti biasa sahaja. Bola sepak ini
permainan orang ramai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Awal
Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Melor, Kota Bharu, Kelantan
semalam.
Annuar
mendedahkan bahawa beliau telah mengambil langkah keselamatan yang ‘luar biasa’
untuk memastikan penyokong-penyokong Johor dijaga dengan baik pada perlawanan,
Selasa lalu antaranya memikirkan bagaimana hendak membawa masuk, keluar mereka
serta meminta bantuan kelab penyokong rasmi bagi jaga pasukan pelawat.
“Saya tak pernah
lagi menyusun urusan keselamatan pasukan pelawat seperti mana yang kami buat
untuk Johor. Saya mahu dia faham mengenai perkara ini.
“Sepanjang jadi
presiden KAFA, saya belum pernah mengambil tanggungjawab sendiri dan mengadakan
perbincangan sendiri kerana memikirkan supaya penyokong-penyokong Johor dapat
dijaga dengan baik. Sebelum ini, biasanya saya serahkan kepada bahagian
pentadbiran.
“Dan saya tak
pernah melibatkan kelab penyokong untuk menjaga pasukan pelawat. Ini kali
pertama kami lakukan untuk Johor. Semuanya berjalan baik dan melalui
perbincangan, jadi gambaran yang diberikan tidak tepat,” ujarnya.
Baru-baru ini
pasukan Johor Darul Takzim telah membawa masuk GGK di stadium sehingga
menimbulkan polemik adakah stadium di Kota Bharu tidak selamat.
Permusuhan
antara Johor Darul Takzim dan Kelantan bukan hanya di atas padang kerana
sebelum saingan liga bermula, kedua-dua pasukan sudah berbalah mengenai
perpindahan Norshahrul ke pasukan Harimau Selatan itu yang didakwa KAFA sebagai
salah.
Bagaimanapun
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui mesyuarat Jawatankuasa Pusat
mendakwa tindakan Norshahrul tidak salah. FAM turut mendakwa tindakan membawa
GGK tidak ada kesalahan.
Dalam pada itu,
Annuar ketika ditanya mengenai keputusan FAM itu, beliau secara sinis berkata,
setakat ini Johor tidak pernah melakukan kesalahan.
- Kosmo
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment