"SAYA
sangat seronok walaupun penat. Saya senang dengan setiap sesi terutama bila
diminta beraksi secara santai-santai. Ya, ini (Rabu) hari yang paling
memenatkan buat saya, hari fotografi paling banyak dalam sejarah yang pernah
saya lakukan selama ini," desis pelantun Lelaki Ini itu saat mengizinkan
dirinya didasari seadanya.
Anuar Zain
lelaki yang mewah dengan senyuman. Seharian beralih dari studio ke studio demi
publisiti, dia tegar. Sepetang di Studio Utusan memenuhi sesi fotografi untuk
empat penerbitan berbeza, kami selesai sekitar lewat senja. Bersambung pula
untuk sesi santai bersama peminat secara maya pada sebelah malam, semuanya mahu
Anuar lakukan menjelang hari bahagia yang bakal berkunjung. Detiknya akan tiba
selang tak sampai pun satu purnama lagi.
"Saya ialah
penghibur para selebriti dan selebriti yang sentiasa terpahat di hati saya
ialah peminat yang mahu menikmati momen bahagia bersama-sama nanti,"
katanya bersantun.
Dalam dada Anuar
Zain ada berbilang rasa, separuh teruja, separuh lagi berdebar. Ada tersisip
juga perasaan terharu mengenangkan akan tibanya sebuah masa dan segunung rezeki
yang tidak disangka-sangka akan turun buatnya dalam waktu terdekat ini.
"Apa yang
perlu saya lakukan nanti ialah membuat persembahan, ia bukan setakat nyanyian
semata-mata. Ia menjanjikan keseronokan buat semua peminat dan sesiapa sahaja
yang akan hadir. Saya juga tidak cuba untuk membuatkan orang berasa kagum
tetapi ada sedikit kejutan khususnya kepada peminat yang telah mengikuti
kembara saya selama ini," susunnya membuat pengisahan konsert sulung
berskala mega, Konsert Anuar Zain 3 Dekad Muzik, Cinta & Sanubari.
Akan berlangsung
pada 16 Februari nanti di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hakikatnya
konsert itu sendiri diakui penyanyi lagu Sedetik Lebih itu sebagai sejarah
terindah yang bakal hadir dan akan kekal menjadi epik kembara seni serta
kecintaannya terhadap muzik.
"Ini kerja
paling besar yang pernah saya lakukan. Konsert sulung saya ini akan menjadi
sejarah buat saya dan sejarah buat peminat," katanya menyifatkan tajuk
konsert itu sendiri membawa makna besar kepada dirinya.
Dari segi
persiapan muzik sehinggalah rekaan cenderahati sebagai kenang-kenangan untuk
dibawa pulang, segala fokusnya kini tertumpu kepada acara yang memberi amanah
kepada Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert itu.
Selain Jennifer,
nama-nama seperti Mac Chew akan bertindak sebagai pengarah muzik dan Ambri Gina
(pengarah artistik) begitu juga dengan Jenny Chin, Aji (gitar) Wan Gigi
(gitar), Steve Thornton (perkusi) dan John Thomas (drum) sudah masuk barisan
antara tentera muzik Anuar menjelang konsert nanti.
"Alhamdulillah,
semua yang bekerjasama dengan saya ialah kawan-kawan yang selalu bersama dengan
saya selama ini. Saya bersyukur sebab dapat memanggil nama-nama terbaik dalam
industri muzik termasuklah penyanyi latar yang akan mengiringi saya
nanti," katanya membuat susunan semula kepada hampir semua lagu yang
dipersembahkan nanti.
Tambah Anuar,
lagu-lagu yang sudah berbelas tahun mesra di telinga pendengar seperti Bila
Resah akan diberi jiwa baharu secara total tetapi untuk lagu-lagu yang masih
belum mesra sepenuhnya di kalangan peminat, susunan muziknya masih dikekalkan.
"Tolak tepi
segala kepenatan dan adrenalin saya ketika ini ialah untuk bekerja tapi dalam
masa yang sama, tahap kesihatan amat penting," ujarnya masih tidak
menganggap konsert besar itu sebagai momentum tertinggi sebagai kemuncak karier
buatnya.
Kata Anuar:
"Saya harap ia bukan kemuncak, selepas ini akan ada lagi album dan album
yang seterusnya. Harus ada ada penambahbaikan. Saya kena terus membuat rujukan
dan mendengar kemahuan peminat. Penambahbaikan itu pula bukan sahaja dari segi
muzik dan nyanyian bahkan dari segi penampilan, harus ikut trend."
ANUAR anggap
peminat sebagai selebriti yang harus diraikan, dijaga dan diberi layanan
setidak-tidaknya melemparkan senyuman atau sekadar bertanya khabar.
Bukan Artis
Eksklusif
Mengakui bukan
kategori artis yang menerima semua kerja sembarangan, Anuar sedar dia hanya
melakukan sesuatu perkara yang selesa dengan dirinya. Faktor itu juga
diandaikan banyak pihak sebagai rahsia kemasyhuran namanya yang masih
berkekalan.
"Kadang-kadang
ada program-program yang tidak bagus untuk kemudian hari nanti. Saya tahu pasti
ada pihak yang berkecil hati dengan saya tetapi saya percaya satu perkara
bahawa keterbukaan melampau boleh membunuh karier," katanya optimis.
Anuar yang tidak
terpengaruh dengan laman sosial seperti Twitter mendakwa dia lebih gemar
berkongsi apa sahaja di laman Instagram. Dia cuma memiliki akaun rasmi Facebook
iaitu www.facebook.com/anuarzainnetwork. Itulah satu-satunya platform yang
membuka ruang temu Anuar bersama peminat di laman sosial. Dia seorang yang
kemas menyimpan rutin peribadinya daripada pengetahuan ramai.
"Dari segi
realitinya, saya masih keluar dengan kawan-kawan cuma saya tidak berkongsi
barang-barang peribadi milik saya dengan peminat. Saya akui juga, laman sosial
seperti Twitter sangat bagus, untuk kita belajar dan meningkat pengetahuan,
tetapi dalam masa yang sama ia boleh jadi kejam," ulas Anuar yang masih
boleh ketawa saat ditunjukkan gambar belakang tabir bersamanya yang telah
dimuat naik ke dalam Instagram.
Kahwin Karier
Masih membujang
saat usianya menginjak angka 43 tahun pada tanggal 15 Februari nanti, itu isu
wajib yang harus dijawab oleh adik Ziana Zain itu. Seperti tahu soalan tidak
akan terlepas daripada jawapannya, jawapan Anuar masih seperti yang diketahui
umum.
"Terima
kasih atas perhatian yang diberikan. Saya pegang kepada kata-kata, jodoh
biarlah ditemukan jangan dicari. Selama ini saya sudah pun berkahwin dengan
karier selama 30 tahun yang bahagia dan kecewa. Dahulu saya pernah rasa kecewa
dan tak mahu lagi menyanyi, sekitar 16-17 tahun ketika suara saya mulai pecah.
Selama 10 tahun saya berhenti menyanyi. Saya bermula semula daripada kosong
pada 1995 apabila kembali menandatangani kontrak dan melancarkan album pada
tahun 1998," ceria Anuar bercerita tentang susur masa.
Anuar Zain 3
Dekad Muzik, Cinta & Sanubari, kisah itu menjadi dambaan Anuar untuk diberi
dan dikongsikan dari puncak kedalaman hatinya untuk peminat. Gema itu harus
datang daripada dirinya untuk dirasai seluruh stadium.
"Apabila
kita memberi dengan keikhlasan, kita akan menerima semula," katanya
mengusung kekuatan yang dikutip daripada peminat untuk merealisasikan rasa
cintanya terhadap muzik selama tiga dasawarsa ini.
- Kosmo
0 comments:
Post a Comment