KUALA LUMPUR -
Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pihak media memainkan peranan sebagai
perantara yang menyampaikan cetusan hati dan aspirasi rakyat kepada kerajaan.
Perdana Menteri
berkata, pihak media juga perlu mengemukakan teguran dan kritikan yang
diluahkan rakyat supaya kerajaan dapat melakukan penambahbaikan yang
dikehendaki rakyat.
“Kita tidak
menolak pihak yang mengkritik kita asalkan kritikan dan teguran itu adalah
bertujuan untuk mencari kebaikan dan berdasarkan kepada fakta yang sebenarnya.
“Berita yang
kita tidak mahu dan kita mesti tolak ialah berita-berita kepalsuan, fitnah,
sengaja diadakan, terutama sekali menjurus kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)
yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat," katanya ketika berucap
pada majlis Malam Penghargaan Media Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, malam
tadi.
Turut hadir
isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin tertinggi Umno serta kira-kira-kira 1,500 warga
media.
Sambil
mengharapkan hubungan Umno dan media yang erat dan mesra selama ini akan kekal
berpanjangan, Najib berkata media juga berperanan penting dalam menyampaikan
dan melaporkan berita yang tepat dan betul mengenai kerajaan.
“Saya selalu
sebut bahawa tempoh bila dekat-dekat PRU-13 ini sebagai ‘the silly season’
yakni dalam musim ini, banyak cerita karut-marut yang sengaja dibangkitkan
dengan tujuan untuk merosakkan imej dan pandangan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.
Beliau berkata
kejayaan sesebuah parti politik dalam memimpin negara serta melaksanakan
dasar-dasar untuk kepentingan rakyat banyak bergantung kepada penerimaan dan
kepercayaan rakyat terhadapnya.
“Sebab itulah
peranan media kepada Umno adalah sesuatu yang kita sentiasa memberi perhatian yang
berat kerana kalau kita tidak berkomunikasi dengan baik dan berkesan, maka apa
saja yang kita lakukan meskipun baik, meskipun bertujuan untuk mencapai sesuatu
objektif yang murni, boleh ditafsirkan secara negatif atau pun kurang diterima
secara positif oleh rakyat.
“Di sinilah
letaknya peranan para media untuk melaporkan berita-berita mengenai Umno,
mengenai kerajaan, malah mengenai semua kejadian dalam negara kita secara
tepat, betul dan untuk memberi penilaian yang objektif kepada perkara-perkara
yang sudah dilakukan oleh parti-parti politik seperti Umno,” katanya.
Najib turut
menyifatkan kemudahan bagi liputan media pada Perhimpunan Agung Umno 2012 yang
berlangsung baru-baru ini sebagai yang terbaik pernah disediakan, dengan
penyertaan kira-kira 1,600 wartawan dari dalam dan luar negara.
“Saya
mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak media yang telah sama-sama
memaparkan apa sebenarnya perjuangan Umno untuk dinilai oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata,
seramai 3.2 juta ahli Umno pada hari ini bersedia untuk meneruskan perjuangan
dan kelangsungan Umno sebagai sebuah parti pemerintah.
“Tapi kita sedar
bahawa kejayaan masa lampau bukanlah sesuatu yang memberi kita kekebalan untuk
masa depan (kerana) ada parti yang senasib atau sekedudukan tapi hari ini sudah
kehilangan kuasa.
“Sebab itulah
saya selalu menyarankan kita mesti melakukan perubahan dalaman dan inilah yang
sedang kita lakukan supaya Umno dilihat sebagai parti yang sentiasa dinamik dan
relevan sepanjang zaman.
“Kita tetap akan
mempertahankan kesucian agama Islam dan akidah Islam, kita akan terus memajukan
ekonomi negara kita, kita akan memperkukuhkan parti, perpaduan nasional antara
kaum berdasarkan kepada gagasan 1Malaysia dan kita sebagai sebuah parti akan
terus membela rakyat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment