KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini,
hari ini membenarkan permohonan penangguhan hukuman penjara lapan tahun ke atas
Ketua UMNO Bahagian Pandan, Abd Ghani Ismail, yang didapati bersalah terhadap
10 pertuduhan rasuah membabitkan RM193,512.
Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geak
Abdullah bagaimanapun memerintahkan jumlah jaminan dinaikkan daripada RM23,000
kepada RM46,000.
Terdahulu, peguam Datuk Jahaberdeen
Mohd Yunus yang mewakili Abd Ghani memaklumkan mahkamah anak guamnya membayar
denda RM977,560 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Abd Ghani, 46, membayar denda tersebut
semalam.
Pada 28 Disember lalu, Hakim Mahkamah
Sesyen Rozilah Salleh menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560
selepas Abd Ghani didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan rasuah membabitkan
RM193,512 antara Mei 2006 hingga Mac 2007.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah
menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta denda RM120,945 terhadap tertuduh
yang didakwa secara rasuah memperoleh satu suapan daripada seorang kontraktor
Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) sebanyak RM24,189.
Ia sebagai balasan menolong Abdul
Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa
pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu
kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di
Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan di sini pada 9 malam, 4 Ogos
2006.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga,
tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM120,945 bagi
kesalahan menerima rasuah daripada Abdul Rahman berjumlah RM24,189.
Rozilah turut menjatuhkan hukuman lima
tahun penjara serta denda berjumlah RM725,670 bagi enam lagi pertuduhan lain
yang dikenakan terhadap Abd Ghani bagi kesalahan sama iaitu menerima rasuah
sebanyak RM145,134 daripada Abdul Rahman.
Bagi pertuduhan kedua hingga
kesembilan itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan Blok E
15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di sini, antara 20 Oktober 2006 hingga 31 Mac
2007.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan
hukuman penjara bagi sembilan pertuduhan tersebut berjalan serentak iaitu lima
tahun.
Sementara itu, bagi pertuduhan ke-10
Abd Ghani dihukum penjara tiga tahun serta denda RM10,000 bagi kesalahan
memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai
sub kontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang mana dia mempunyai
kepentingan dalam Syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan
Jaya pada 1 Mei 2006.
Ia sebagai upah menolong Syarikat
Dwisakti Mewah Sdn Bhd mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa
pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.
Bagi kesemua pertuduhan itu dia
didakwa mengikut Seksyen 11(a) dan Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah
1997 (Akta 575) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang
daripada lima kali ganda nilai suapan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan
Pendakwa Raya, Muhammad Sinti.
0 comments:
Post a Comment