Terima kasih dan
syabas kepada orang lama Umno dan bekas orang kanan kerajaan, Tengku Razaleigh
Tengku Hamzah kerana ucapannya di Dewan Rakyat pada 17 Mac menggesa kerajaan
(Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak mengutamakan rakyat.
Antara lain,
beliau menasihatkan Pentadbiran Mohd Najib Abdul Razak melakukan beberapa
perkara bagi meringankan beban rakyat jelata, termasuk menangguhkan pelaksanaan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijadualkan bermula bulan hadapan.
Ku Li, antara
lain, berkata: “Di atas perkiraan inilah saya telah cadangkan di dalam surat
bertarikh 30hb Oktober, 2014 supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat.
Rakyat juga menanggung beban hutang isi rumah yang tinggi. Oleh itu kita perlu
tahu sebab musabab GST dikenakan kerana punca pendapatan ini akan menambah
beban kewangan rakyat. Rakyat berhak tahu sama ada GST yang akan dilaksanakan
pada bulan April hadapan ini akan menguntungkan negara atau ia hanya untuk
membayar faedah kepada sipiutang dan pemegang bon. Tujuan GST dilaksanakan
tidak seharusnya dirahsiakan.” (Baca selengkapnya di sini).
Namun, secara
peribadi, saya tidak menjangka gesaan Ahli Parlimen Gua Musang itu akan mengubah
tindak-tanduk Perdana Menteri. Ia umpama mencurah air ke atas daun keladi –
tercurah, tertumpah tak meninggalkan kesan.
Jelas, Mohd
Najib tidak boleh diubah. Salah satu sebabnya adalah keputusan mutakhir bukan
di tangan beliau. Beliau adalah watak terkawal (controlled) dan terhutang budi
(beholden) kepada terlalu banyak pihak.
Meminjam
ungkapan beliau sendiri ketika merasmikan konvensyen Umno Kedah baru-baru ini,
beliau dikerumuni dan dikuasai oleh begitu ramai penggilap epal (kaki ampu) dan
"jemuan" yang tidak akan membenarkan beliau berubah apatah lagi
mengundurkan diri.
Bagi
meringkaskan pengistilahan, saya singkatkan golongan ini sebagai PEJ –
penggilap epal dan "jemuan".
Ambil contoh
gesaan Ku Li agar pelaksanaan GST ditangguhkan. Dengan serta-merta Timbalan
Menteri Kewangan Ahmad Maslan menyangkalnya apabila beliau berkata bahawa cukai
baru itu adalah untuk kebaikan rakyat jelata dan bukan untuk membayar balik
hutang.
Jawapan selamba
itu mungkin dipercayai Mohd Najib kerana beliau sendiri tidak begitu dalam ilmu
ekonomi dan pentadbiran. Beliau juga mungkin percaya yang semua rakyat jelata
jahil mengenai hal-ehwal fiskal maka mereka percaya hujah seperti yang dibuat
oleh Ahmad Maslan itu.
Kalau cukai
bukan untuk bayar hutang, ia untuk apa? Sepanjang yang kita ketahui, dalam
belanjawan negara, cukai adalah untuk pengurusan yang merangkumi gaji
kakitangan awam, penyelenggaraan dan pembayaran balik hutang.
Kalau hutang tidak
dibayar menggunakan hasil cukai, daripada mana kerajaan dapat duit untuk bayar
hutang? Kerajaan cetak duit atau minta usahawan macam T Ananda Krishnan untuk
tolong bayar?
Ramai orang tahu
bahawa hampir keseluruhan perbelanjaan pembangunan adalah daripada sumber
hutang kerana hasil cukai hanya ngam-ngam untuk perbelanjaan pengurusan. Sebab
itulah belanjawan negara mengalami defisit!
Ahmad Maslan
adalah budak hanyir (kanyiaq dalam loghat Utara) dibandingkan dengan Ku Li.
Oleh sebab dia budak hanyir mungkin dia tidak pun kenal siapa Ku Li sebenarnya.
Mungkin dia tidak tahu bahawa Ku Li lah yang pegang tangan Mohd Najib di
Petronas pada pertengahan tahun 1970-an.
Ku Li lah antara
orang terakhir berjumpa Allahyarham Tun Abdul Razak di katil sakitnya di London
pada tahun 1976.
Mungkin orang
belajar tinggi di luar negara seperti Ahmad Maslan (di New Zealand) dan
berijazah MBA berasa orang lama seperti Ku Ki, (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan
(Tun) Daim Zainuddin tidak relevan lagi.
Mungkin orang
macam Ahmad Maslan tidak peduli untuk ambil tahu bahawa orang seperti Ku Li, Dr
Mahathir dan Daim lah yang menjadi penyambung hayat politik Mohd Najib sehingga
beliau naik menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno. Mungkin Dr Mahathir dan
Daim telah melakukan kesilapan besar menaikkan Mohd Najib.
Maaf cakaplah
kalau saya kata, Dr Mahathir, Ku Li dan Daim serta orang ramai yang sependapat
dengan mereka akan kecewa kerana Mohd Najib tidak akan berubah dan tidak akan
mengundurkan diri.
Hanya paksaan
atau keterpaksaan berkaitan isu-isu seperti 1MDB, Pembangunan PFI Sdn Bhd, SRC
International Sdn Bhd dan kejayaan Sirul Azhar Umar memboloskan diri ke
Australia akan memaksa Mohd Najib mengundurkan diri.
MT Tidak Akan
Singkir Mohd Najib
Buat waktu ini,
hanya Majlis Tertinggi Umno boleh mengubah atau menyingkirkan Mohd Najib.
Tetapi ia dalam genggaman Mohd Najib dan PEJnya.
Lagipun terlalu
banyak hipokrasi dan penyelamatan diri (self preservation) di kalangan ahli MT.
Masing-masing takut dilondehkan.
Harapan rakyat
jelata melakukan perubahan tidak akan tiba sehingga pilihan raya umum (PRU)
akan datang tiga atau empat tahun dari sekarang.
Jika ketika itu
Mohd Najib masih kekal dan perubahan yang diharapkan oleh rakyat jelata tidak
berlaku mereka mungkin menyingkirkan Barisan Nasional kerana marah walaupun
Pakatan Rakyat dalam keadaan porak-peranda.
BN dan Umno
sudah pun berasa bahang undi benci dan menyampah ini pada PRU 2013. Hanya
ketakutan dan kebencian kepada tunjuk kuat PR, khususnya oleh DAP, menyebabkan
sebahagian orang Melayu berpatah balik mengundi calon Umno.
Sementara itu,
Mohd Najib akan terus dipuji dan digesa jangan berganjak oleh para PEJ dan batu
ronson di sekelilingnya dengan bantuan jentera propaganda yang mereka kuasai.
Mereka tidak
akan membenarkan beliau bertindak rasional kerana mereka tahu kalau beliau
berfikir secara rasional, ramai antara mereka akan terpelanting.
Pengkritik dan
penentang Mohd Najib wajib menerima hakikat bahawa Mohd Najib bukan (Tun)
Abdullah Ahmad Badawi yang boleh dinyahkan dengan mudah.
Pak Lah tidak
mempunyai struktur mega seperti Mohd Najib. Pak Lah dikelilingi oleh anggota
inner circle yang kecil bilangannya. Mohd Najib mempunyai ratusan anggota inner
circle dengan pembiayaan yang lumayan.
Harapan
pengkritik dan penentang Mohd Najib berjaya boleh diperbaiki hanya jika mereka
lebih terbuka dan tidak terlalu bergantung kepada orang lama seperti Dr
Mahathir, Daim dan Tengku Razaleigh atau menaruh harapan semata-mata kepada
(Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin untuk menggerakkan agenda.
Mereka harus
berani berfikir mungkin Ku Li adalah alternatif yang lebih baik menggantikan
Mohd Najib sebagai pengganti interim. Mungkin Muhyiddin tidak 100% berminat
untuk menggantikan Mohd Najib atau tangan beliau terikat kerana beliau terlalu
hampir dengan tampuk kuasa dalam Umno dan kerajaan.
Mungkin juga ini
bukan masanya bagi Dr Mahathir atau Ku Li serta pengikut mereka terperangkap
dalam penjara masa ketika mana mereka bermusuhan dan berbeza pendapat.
Tanggungjawab
semua pihak yang mahukan perubahan adalah kepada negara. Kalau Malaysia
kacau-bilau dan mundur semua akan rugi kecuali para pemodal yang tahu mengambil
kesempatan daripada huru-hara politik dan ekonomi.
Kalau nasi
menjadi bubur masih boleh dimakan. Tetapi kalu nasi tumpah ke tanah, rakyat
jelata akan kebuluran.
PS: Harga
pasaran Jet Eksekutif Airbus A319 yang baru dibeli oleh Pentadbiran Mohd Najib
adalah sekitar AS$60 juta (kira-kira RM220 juta). Saya tidak pasti harga yang
kerajaan Mohd Najib bayar untuk A319 kedua ini. Dalam teknologi kapal terbang,
usia 19 tahun (BBJ TUDM) tidak tua. Kapal terbang Queen Elizabeth jenis Bae 146
dibekalkan pada tahun 1986. Sekarang sudah berusia 29 tahun. Helikopter
Aerospatiale Alouette dan Nuri TUDM sudah hampir 50 tahun masih terbang dan jet
pejuang F/A-18 Hornet sudah 23 tahun. Tolak BBJ, TUDM ada empat buah lagi jet
eksekutif – Airbus A319, Bombardier Global Express, Falcon 900 dan Fokker F28
serta empat buah helikopter VIP. Khabarnya pesawat F28 sudah tidak boleh
digunakan. Dalam keadaan ekonomi yang lembap dan rakyat jelata dalam kesusahan,
bukankah semua ini berupa pemborosan dan bukti gaya hidup mewah?
Wallahuaklam.
0 comments:
Post a Comment