Tulisan Ust Khairuddin at-Takiri, YB Parlimen
Kuala Nerus
Individu yang
faqih memahami al-Quran dan Sunnah mempunyai kedudukan tinggi dan mulia di sisi
Allah dengan syarat disertai dengan takwa sebagaimana sabit dalam al-Quran dan
al-Hadis. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa
yang Allah mahukan untuk dirinya satu kebaikan maka Allah bagi kefaqihan
(kefahaman mendalam) dalam agama.” (Riwayat Bukhari)
Menjelaskan
kedudukan dan kelebihan ulama secara umum sebagaimana yang dinyatakan di dalam
hadis tidak bererti mensucikan individu yang alim daripada kelemahan dan
kesilapan.
Ulama bukan
jenama eksklusif milik golongan atau institusi tertentu seperti Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama,
persatuan-persatuan ulama, majlis-majlis ulama dan seumpamanya tetapi ia adalah
sifat yang boleh dimiliki oleh sesiapa yang menguasai disiplin ilmu wahyu yang
baik dengan kemampuan bahasa Arab yang mantap dan mampu merujuk kepada al-Quran
dan Hadis meskipun dia seorang peniaga, petani, kerani, ahli politik, doktor,
jurutera dan sebagainya.
Mencadangkan
Presiden dan Timbalan Pas dalam kalangan “ulama yang faqih dan memahami realiti
semasa” adalah cadangan berasaskan merit dan kelayakan untuk diberi keutamaan
(afdal dan lebih baik) untuk menjadi pemimpin iaitu ilmu agama di samping sifat
kepimpinan yang lain seperti beriman, bertakwa, bijak dan amanah.
Cadangan
tersebut tidak menafikan kelayakan untuk memimpin bagi individu-individu yang
mempunyai sifat-sifat pemimpin seperti beriman, bertakwa, bijak dan amanah
namun memiliki kekurangan pada keilmuan dan kefaqihan agamanya.
Cadangan
tersebut juga tidak menghalang mana-mana individu yang mempunyai sifat
kepimpinan seperti beriman, bertakwa, bijak dan amanah tetapi masih kurang
keilmuan dan kefaqihan agamanya, meskipun latar belakang pekerjaannya pelbagai
tetapi masih tetap berkelayakan untuk menjadi pemimpin di semua peringkat parti
sama ada cawangan, kawasan mahupun pusat. Dan itulah yang telah berlaku selama
berdekad dalam Pas sejak awal penubuhannya.
Cadangan ilmu
dan faqih agama sebagai merit kelayakan pemimpin utama gerakan Islam bukanlah
cadangan yang undur ke belakang sebagaimana dakwaan sesetengah pihak kerana ia
selari dengan Islam sebagaimana dicontohkan oleh para rasul dan Khulafa
Rashidin. Kegemilangan mereka menjadi teladan kepada kita dalam mengemudi
gerakan Islam pada masa kini.
Merit ini perlu
turut digabungkan dengan sifat quwwah dan amanah yang menjadi sebahagian
kriteria umum kepada sesebuah kepimpinan. Malah menentang cadangan tersebut
adalah langkah mundur meninggalkan Islam yang menjadi asas rujukan gerakan
Islam.
Gerakan Islam
bermatlamat memandu manusia kepada Islam dan mendapatkan kuasa untuk memerintah
dengan Islam. Usaha gerakan Islam adalah membentuk kerajaan yang berfungsi “menegakkan
agama dan mentadbir bumi dengan agama.”
Justeru
selayaknya dan sewajarnya keilmuan dan kefaqihan mendalam tentang Islam menjadi
prasyarat dan merit tambahan untuk menjadi pemimpin utama gerakan Islam.
Sebagaimana organisasi perubatan selayak dan sebaiknya dipimpin oleh mereka
yang paling berkepakaran tentang perubatan tanpa menafikan kelayakan orang yang
juga berada di bidang perubatan.
Seorang individu
alim tetapi tidak memiliki sifat-sifat kepimpinan yang lain seperti beriman,
bertakwa, bijak dan amanah sewajarnya tidak diberikan amanah kepimpinan.
Serangan
berbentuk cemuhan dan tohmahan terhadap resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia ini
dibimbangi hanya berasaskan emosi dan bukannya berasaskan ilmu. Ahli-ahli Pas
tidak sewajarnya terikut-ikut dengan segelintir penulis maya yang berbahasa
kotor, jijik dan sinis.
Rasulullah SAW
bersabda:
“Bukanlah
mukmin itu seorang yang terlalu suka mengecam dan membuat tohmahan, tidak juga
yang terlalu suka melaknat, tidak juga berbahasa lucah dan tidak juga berbahasa
kotor dan jijik.” (hadis riwayat Ahmad dan Hakim)
Sikap
memperbodohkan pandangan dan resolusi multaqa yang dibuat secara jemaah oleh
ulama bukanlah sebahagian daripada akhlak Islam kerana ia gambaran keegoan dan
keangkuhan pandangan. Jauh sekali menjadi akhlak kepada pendokong gerakan
Islam. Dibimbangi akan termasuk dalam kategori peringatan Nabi Muhammad SAW:
“Yang
paling saya bimbang terhadap kamu tiga perkara yang membinasakan; kebakhilan
yang ditaati, nafsu yang diikuti dan kekaguman setiap individu yang memberikan
pandangan dengan pandangannya.” (Riwayat al- Bazzar dan al-Asbahani)
Tidak ada sebab
untuk ahli-ahli gerakan Islam yang tidak mempunyai ilmu mendalam tentang Islam
terasa dipinggirkan daripada kepimpinan gerakan Islam sekiranya mereka memahami
fungsi dan matlamat perjuangan gerakan Islam.
Ia sepatutnya
menjadi cabaran kepada setiap ahli gerakan Islam untuk berusaha menambahkan
ilmu tentang Islam bagi melayakkan mereka juga mempunyai merit tambahan sebagai
pemimpin gerakan Islam sementelah lagi mendalami Islam itu sememangnya tuntutan
Islam dan tuntutan perjuangan.
Malah setiap
ahli Pas boleh berperanan dan menyumbang untuk kemajuan dakwah dan perjuangan
Pas dengan pelbagai cara berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh setiap orang
kerana nilaian di sisi Allah pada kerja dan amal. Firman Allah SWT:
“Dan
katakanlah oleh kamu semua; bekerjalah pasti nanti Allah melihat kerja kamu dan
juga ia dilihat oleh Rasul-Nya dan orang beriman.” (At Taubah 105)
Perjawatan dalam
gerakan Islam adalah amanah dan tanggungjawab membawa Islam dan bukannya
kemuliaan yang menjadi rebutan individu yang menganggotainya. Resolusi multaqa
mencadangkan merit kelayakan memikul amanah dan tanggungjawab bagi menjadi
pertimbangan ahli dalam memilih pemimpin yang menggalas amanah.
Apatah lagi
resolusi hanya menegaskan syarat tambahan itu khususnya untuk perjawatan
presiden dan timbalan dan sebahagian naib presiden yang merupakan pengemudi
utama gerakan Islam. Ia tidak merujuk kepada perjawatan-perjawatan lain.
Agenda
Tidakkah selama
ini sejak awal penubuhan Pas, kuliah ilmu Islam dalam pelbagai bentuk merupakan
sebahagian daripada agenda utama Pas. Maka selayaknya kefahaman agama menjadi
nilaian dalam menentukan kepimpinan oleh ahli-ahli Pas. Atau adakah kerana leka
berpolitik semata-mata menyebabkan ahli-ahli Pas tidak lagi melihat kefahaman
agama mendalam sebagai suatu yang mendasar dan paksi dalam perjuangan serta
nilai tambah kepimpinan?
Cadangan
presiden dan timbalan dalam kalangan "ulama yg memahami dan faqih tentang
Islam dan realiti semasa" bukanlah satu bentuk "meminta jawatan"
sebagaimana dakwaan sebahagian pihak.
Ia adalah
penegasan prinsip dan kaedah penilaian kepimpinan. Multaqa Ulama mencadangkan
sebagai satu kewajipan orang berilmu untuk menyatakan pandangan Islam dalam
kepimpinan. Jika para alim ulama tidak menyatakannya, siapakah lagi yang
diharapkan untuk menjelaskan prinsip tersebut. Malah ulama tidak perlu malu
untuk bertindak sedemikian bahkan malu menyatakan kebenaran adalah usikan
syaitan supaya ulama menyembunyikan kebenaran.
Jawatan dalam
Islam tidak boleh diminta atau dituntut oleh individu Islam sebagaimana
seseorang individu meminta dirinya dipilih menjadi presiden dan timbalan.
Inilah penegasan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Resolusi Multaqa adalah
resolusi jamaei secara beramai-ramai oleh ulama untuk menegaskan nilai tambah
syarat kepimpinan iaitu "faqih" dan bukannya perlakuan meminta
jawatan oleh individu untuk dirinya sendiri secara individu. Kekeliruan
memahami hukum "meminta jawatan" ini perlu dirungkai supaya tidak
berlaku kekeliruan hukum lalu menempelak ulama kononnya meminta jawatan.
Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) sangat yakin dengan
perjalanan panjang Pas yang berusia 62 tahun, ia memiliki sangat ramai ahli
yang mempunyai nilai tambah kepimpinan yang “faqih” tentang Islam dan realiti
semasa meskipun ia belum dikedepankan lagi kepada ahli untuk alternatif pilihan
dalam muktamar pemilihan.
DUPP menegaskan
bahawa resolusi Multaqa agar presiden dan timbalan sewajarnya dalam kalangan
ulama (orang berilmu) yang faqih tentang Islam (memahami dengan mendalam
al-Quran dan Sunnah) dan realiti semasa (seperti isu politik semasa) adalah
resolusi yang selaras dengan saranan Islam. Ia dilontarkan kepada seluruh ahli
Pas untuk penilaian atas kesedaran bahawa perlembagaan Pas tidak meletakkan
syarat tersebut sebagai syarat wajib maka ia terbuka untuk menjadi syarat nilai
tambah kepada kelayakan berasaskan Islam.
Merit kefahaman
agama mendalam sebagai kelayakan terbaik menjadi pemimpin sangat penting dan
mendasar. Nabi Muhammad SAW bersabda:
Apabila
amanah dipersiakan maka tunggulah kiamat. Sahabat bertanya; bagaimana amanah
dipersiakan? Baginda menegaskan “apabila sesuatu urusan disandarkan kepada
bukan ahlinya (tidak berkelayakan) maka tunggulah kiamat.” (Hadis Bukhari)
- Penulis
ialah Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat.
© Utusan Melayu
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment