-Tulisan Dr. Mujahid Yusof Rawa
Setiap kali
muktamar menjelang, berbagai isu muncul untuk dijadikan bahan sensasi media
mahupun kelompok yang bersaing dalam PAS. Khusus dua tahun sekali , para
perwakilan akan mengadakan pemilihan kepimpinan, maka fenomena persaingan dan
dinamika sebuah parti Islam akan terselah dalam bentuknya yang tersendiri. Bagi
saya ia adalah fenomena biasa yang berlaku dalam mana-mana organisasi politik.
ISU MENDASAR
Persaingan
dalam PAS adalah fenomena. Bagi yang
pesimis ia akan melihatnya sebagai 'bala' yang akan menghancurkan parti
manakala bagi yang optimis ia melihat ini sebahagian daripada dinamika evolusi
perkembangan sebuah parti politik.
Bagi musuh
politik PAS ini adalah peluang baik untuk melihat lawannya berpecah sesama
sendiri walaupun sesekali dia akan melihatkan simpatinya pada pihak tertentu.
Atas apa jua perspektif yang kita lihat, kita harus bertanya apakah isu yang
mendasar dalam fenomena ini?
Isu yang
mendasar adalah persaingan, merasionalkan kewujudan parti dan evolusi
organisasi.
Persaingan
adalah bentuk dinamika sesebuah organisasi, faktornya ialah kelompok-kelompok
yang terbentuk dengan membawa idea tertentu dalam parti. Selalunya idea ini
menampakkkan pihak yang mahukan pembaharuan manakala sebuah kelompok lagi
melihat status-quo yang ada mencukupi malah meyakini bahawa keadaan yang ada
yang telah membawa parti ke tahapnya hari ini.
Mereka melihat
pembaharuan akan mengubah asas dan dasar parti sedangkan golongan pembaharuan
mahukan lonjakan besar parti untuk terus mampu berada di persada.
PERSAINGAN DALAM PAS
Apa yang kita
saksikan dari berbagai kenyataan dan sensasi majlis tertentu seperti Multaqa
Ulamak baru-baru ini mengisyaratkan persaingan kelompok dalam PAS terdiri dari
dua kategori besar para konservatif dan reformis.
Saya kurang
setuju kategori ulama dan profesional,
ia hanya label yang tidak banyak membantu perspektif yang tepat
persaingan dalam PAS, tetapi konservatif dan reformis lebih membawa makna dalam
memahami persaingan itu. Konservatif adalah golongan dalam parti yang melihat
status-quo dan tidak berani keluar dari status-quo kerana menganggap itulah
prinsip dan asas tertegaknya parti ini.
Kelompok
reformis mahukan parti keluar dari keadaannya dan melonjak kepada identiti baru
untuk menggamit perubahan yang ada di sekelilingnya. Berita baiknya adalah
kedua-kedua kelompok yang bersaing ini mahukan kebaikan untuk parti dengan
perspektif yang berbeza.
KEPIMPINAN ULAMA
Salah satu tajuk
perdebatan kelompok yang bersaing adalah tentang kepimpinan ulama. Gagasan
pemikiran organisasi yang diperkenalkan tahun 1980-an ini seiringan dengan
krisis besar organisasi PAS yang berlaku semasa era Datuk Mohd Asri Muda. Sebab kepada krisis dan faktornya telah saya
sentuh dalam buku 'Pas Baru' terbitan The Malaysian Insider.
Apapun, krisis
itu membuka peluang kepada PAS melalui desakan kepimpinan pemudanya melahirkan
idae gagasan baru iaitu 'Kepimpinan Ulama'. Ciri utama kepimpinan ulama adalah
wujudnya kuasa baru dalam parti bernama Majlis Syura Ulamak di mana
keanggotaanya secara eksklusif ialah mereka yang berstatus ulama.
Pengerusi Majlis
Syura ialah Mursyidul Am. Sifat Majlis Syura Ulamak ini lebih kepada legislatif
dan nasihat. Bahagian eksekutif parti seperti Jawatankuasa Pusat, Dewan-dewan
dan lain-lain sampai ke cawangan kekal seperti sediakala.
Tetapi sepanjang
90-an hingga kini, tiba-tiba isu ulama tidak ulama menjadi perbahasan sampailah
kepada persoalan sama ada bahagian eksekutif parti mesti juga di kalangan ulama
atau tidak. Secara konvensionalnya juga
Presiden, Timbalan dan salah seorang Naib mesti dari kalangan ulama.
Kecuali Mohamad
Sabu, semua Timbalan Presiden PAS sebelum ini dalam kepimpinan ulama
dikategorikan sebagai ulama. Kelompok yang bersaing tidak mempertikaikan
keahlian ulama dalam Majlis Syura, mereka cuma mempertikaikan kenapa jawatan
eksekutif lain mesti di kalangan ulama juga?
Untuk mengenal pasti bukan ulama maka terciptalah label profesional.
Akhirnya isu
sebenar yang boleh memajukan parti diabaikan dan isu ulama tidak ulama pula
menjadi perdebatan yang tidak produktif.
TUNTUTAN ULAMA
Istilah ulama
dalam PAS mesti difahami dari sudut operasinya sebagai mereka yang
berlatarbelakangkan pengajian agama secara formal dalam atau luar negara,
peringat rendah ataupun tinggi. Apa yang
dituntut dalam Multaqa Ulama untuk diberi ruang kepada ulama agak mengelirukan
kerana selama ini mereka ada Dewan Ulamak yang bersifat eksekutif.
Ketua Dewan
Ulamak secara automatik menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, begitu juga
halnya di peringkat negeri dan kawasan. Malah ulama ada dalam jawatankuasa pusat
dari sudut mereka yang berlatarbelakangkan pengajian agama, walaupun bukan dari
kalangan anggota Dewan Ulamak.
MERIT
Persaingan dalam
parti sepatutnya bukan berdasarkan
latarbelakang pengajian tetapi adalah ditentukan oleh merit atau
kelayakan. Dalam PAS corak pemilihan
oleh para perwakilan akan terpengaruh dengan ciri tertonjol pada calon-calon
antara aktivis, latarbelakang agama dan ilmuwan.
Masalahnya
adalah tidak semua aktivis ustaz dan tidak semua ustaz adalah ilmuwan mahupun
aktivis dan tidak semua ilmuwan itu ustaz dan aktivis. Corak ini kadang kala
terlalu simplistik sehingga asas utama iaitu kelayakan atau merit diabaikan.
Merit atau
kelayakan mesti dinilai dari sudut pencapaian dalaman dan luaran parti,
kejelasan hendak membawa visi dan misi parti ke hadapan dan tahap pengorbanan
dan susah-payah calon sebagai aktivis. Asas 'ulama lwn non-ulama' menjadi tidak
relevan jika kita memahami asas kedudukan seseorang ialah kerana kelayakan yang
dinilai oleh para perwakilan terhadapnya bukan kerana mereka ulama atau tidak.
Apatah lagi
sebagai sebuah parti politik yang inginkan kuasa ke Putrajaya, isu merit
sepatutnya menjadi persoalan pokoknya. Hal ini tidak bercanggah dengan kaedah
Islam memilih seseorang kepada sesuatu tugasan iaitu al-Qawi dan al-Amin iaitu
berkemampuan (berkelayakan) dan beramanah.
Mengapa pula ulama dan non-ulama menjadi isu?
PERSAINGAN SIHAT
Persaingan yang
sihat adalah persaingan yang berlumba untuk mengetengahkan idea kepada parti
dan membuat perkiraan rasional bagaimana parti harus terus efektif memimpin
orang ramai membentuk negara yang diidamkan.
Saya telah
membawa idea dalam dua buku saya bagi mewajarkan lonjakan baru yang saya
namakan sebagai 'keluk ke-3 untuk PAS'.
Dalam program
'Rejuvenasi PAS', saya telah memperkenalkan empat tingkap atau bahagian
organisasi yang perlu diberi penyegaran iaitu Struktur dengan menawarkan
Institusi Presiden yang kuat, manakala dalam Sumber Manusia saya mencadangkan
Jabatan Sumber Manusia parti untuk mengurus perkembangan parti yang pesat.
Dalam budaya
saya mencadangkan pengukuhan akhlak Islam dan profesionalisme manakala dalam
persaingan dalaman saya mencadangkan ketelusan dalam proses pemilihan.
Dari sudut
strategi luaran, kejelasan tentang penglibatan PAS dalam masyarakat sivil dan
demokrasi serta advokasi dasar perlu kepada penyegaran semula. Malangnya parti
diheret untuk membincangkan sama ada ulama atau tidak ulama yang layak memimpin
PAS. Saya telah beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa jika ulama itu layak
bukan kerana dia ialah ulama dan jikalau bukan ulama, dia layak bukan kerana
dia tidak ulama.
Mereka
diletakkan di situ kerana para perwakilan melihat Kemampuan (al-Qawi ) dan
Amanah (al-Amin) yang mereka miliki untuk membawa bahtera perjuangan PAS di
Malaysia. Sepatutnya kepimpinan mendidik ahli kepada budaya memilih kerana
kelayakan dan bukan statusnya.
IMPLIKASI
Malangnya
perkataan ulama telah diberi makna yang berbeza. Sepatutnya istilah ulama
melambangkan keilmuan dan keterbukaan tetapi kini menjadi status yang
dipertaruhkan untuk bersaing dalam parti.
Apakah status ulama itu mewajarkan segala-segalanya dari sudut
kelayakan?
Penglibatan
seseorang yang berstatus ulama dalam sebuah organisasi parti politik Islam
bukan menjamin jawatan dan kedudukan dalam parti, malah sebagai ahli parti ,
dia perlu menunjukkan keberkesanan dan kemampuan membawa visi dan misi parti.
Dalam buku saya,
'PAS Baru' dan 'Rejuvenasi PAS', isu
dikotomi (pemisahan) ulama dan bukan ulama mesti diselesaikan segera melalui
penyegaran sistem sumber manusia parti dengan membuat penarafan piawaian ahli
yang ada dalam PAS dari berbagai latarbelakang kepada piawaian yang
dipersetujui dan jangan biarkan pihak tertentu yang memandai-mandai menarafkan
kelayakan hanya berbekalkan status semata-mata.
Inilah yang akan
berlaku apabila pengurusan parti tidak ada strategi Sumber Manusia parti yang
melihat segenap aspek perkiraan bagi melahirkan kelayakan kepimpinan yang
terbuka untuk semua.
MASA DEPAN PAS
Apa yang
disaksikan hari ini adalah dinamika sebuah parti politik dan sebagai parti
politik Islam, keunikannya menjadikan
evolusi perkembangannya menarik untuk diberi perhatian.
Nama Islam pada
parti politik tidak menjamin ianya suci dari kerenah manusia yang menggerakkan
parti Islam. Apa yang perlu adalah
kemahiran menguruskan dinamika ini kerana ia akan memberi peluang cerah kepada perubahan yang amat diperlukan
PAS hari ini jika ia mahu kekal relevan.
Mengurus konflik
dan krisis tidak memerlukan ulama atau tidak, ia memerlukan seseorang yang
mampu melihat secara positif bahawa dalam krisis dan konflik ada peluang untuk
penyegaran baru bagi PAS melonjak ke hadapan.
Sudahkah kita
yan cintakan pada perjuangan ini memikirkannya?
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment