Hebat! Itulah yang dapat penulis katakan
selepas menguji keluarga terbaru Volkswagen Group Malaysia (VGM) menerusi model
Golf GTI.
Kenderaan berprestasi kategori hatchback itu baru saja diperkenalkan VGM minggu
lalu selepas melancarkan varian Golf TSI,
awal tahun ini.
Sehingga 14 Jun lalu, populariti semakin
‘kencang’ apabila model Golf daripada generasi pertama hingga ketujuh dijual
kira-kira 30 juta di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, 1.9 juta adalah model
GTI selepas kali pertama diperkenalkan pada 1976. Kejayaan
jentera ini bukan lagi rahsia kerana prestasinya menjadi kegilaan peminat
kenderaan kategori hatchback.
Berbanding
model sebelum ini, ia ada banyak perbezaan, terutama di bahagian enjin. Enjin
generasi ketiga EA888 berkapasiti dua liter yang dijanakan kuasa turbo suntikan
banyak menyumbang ke arah kejayaan Golf GTI. Kenderaan diimport dari Jerman
ini dipertingkatkan 10 PS menjadikan 220 PS, manakala torknya meningkatkan
350 Nm berbanding 280 Nm sebelum ini. Jentera ini mampu memecut dari tahap
pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.5 saat berbanding sebelum
ini 6.9 saat.
Penulis
menikmati pengalaman menarik ketika memandu uji kenderaan ini dari Kuala
Lumpur ke Johor Bahru sebelum menyeberang ke Singapura. Ketika perjalanan ke
selatan tanah air, penulis teruja memecut di laluan lurus. Setakat memecut
sehingga 220 km/j, boleh dikatakan cukup mudah untuk mencapainya. Biarpun ia
sebuah jentera berprestasi, tahap penggunaan minyak menjimatkan dengan purata
6.4 liter bagi perjalanan 100 kilometer serta mesra alam sekitar apabila
membebaskan emisi setakat 148 gram setiap satu kilometer.
Kenderaan
pandu uji ini turut dilengkapi sistem ‘Tech Pack’ yang membolehkan pemandu
memilih mod Comfort, Normal, Sport dan Eco. Selain itu, ia boleh ditala
mengikut kemahuan dan kesesuaian cara pemandunya membabitkan suspensi,
stereng, enjin dan penyaman udara.
Sebelum
menyeberangi ke Singapura, kumpulan media diberi peluang menguji jentera itu
di Litar Pasir Gudang. Ketika di litar itu, penulis menggunakan mod sport, di
mana sistem suspensi dan sterengnya terasa sedikit keras serta berat untuk
memberi pengendalian lebih menyeronokkan. Malah, kotak gearnya bekerja keras
sebelum menukar gear lebih tinggi untuk memberi kuasa pecutan seperti jentera
perlumbaan. Setiap kali menukar gear, bunyi seakan-akan letupan keluar daripada
peredam ekzos berkembar, seolah-olah ia menggunakan transmisi perlumbaan. Adanya
dengan teknologi terbaru ‘Advanced Electronic Differential Lock XDS +’ memberi
pengendalian lebih baik, di mana kuasa tork diagih kepada tayar tertentu bagi
memberi cengkaman ketika melakukan selekoh.
Sementara
itu, reka bentuknya kelihatan hampir sama dengan varian Golf TSI generasi
ketujuh, tetapi bampar depan dan belakang ditukar serta rim menggunakan dimensi
18 inci dengan rekaan Austin supaya tampak lebih sporty. Jentera ini turut
menerapkan ciri-ciri klasiknya apabila dilengkapi jalur merah antara jeriji
depan hingga perumah lampu depan, selain logo GTI ditampal pada sisinya. Ketika
menjengah bahagian dalamannya, stereng berbentuk separa bulat tampak unik,
selain kerusinya dibaluti material kulit berkualiti dengan disulam benang
merah.
Bagaimanapun,
VGM turut menawarkan varian lain dengan kerusinya dibaluti material kain,
selain digabungkan corak berpetak-petak pada bahagian tengahnya. Papan pemuka
dan panel pintu turut menggunakan material lembut yang tampak mewah. Kerusi
ala ‘bucket’ membuatkan penulis rasa selesa dan stabil, selain tidak memenatkan
ketika memandu dalam perjalanan jauh.
Harganya
pula ditawarkan RM209,888 bagi
model tiga pintu dan RM217,888 untuk
varian lima pintu. Selain itu, VGM menawarkan pakej berprestasi membabitkan
‘Tech Pack’ dan rim 19 inci rekaan ‘Santiago’ yang dijual RM13,000.
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment