SHAH ALAM 10 Jun
| Polis Selangor mengedarkan gambar tiga suspek lelaki warga asing bagi
membantu siasatan berhubung tiga kes pembunuhan berasingan di Selangor pada
April dan Mei lalu.
Suspek pertama
ialah seorang warga Bangladesh yang disyaki membunuh isterinya, iaitu seorang
rakyat Indonesia di Seri Kembangan dekat sini pada 7 Mei lalu.
Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah
berkata, lelaki warga Bangladesh yang sedang dikesan itu dikenali sebagai
Parman berusia 30-an.
“Suspek dipercayai
membunuh isterinya dan mangsa ditemui dengan kesan tikaman di rusuk kiri dan
belakang badan di Jalan Besar, Seri Kembangan pada pukul 6.45 petang,” katanya
di Pusat Media Polis Selangor, di sini hari ini.
Menurutnya,
individu kedua dicari ialah warga Myanmar, Myo Tun, 37, yang beralamat di No.
125, Jalan Indah 16, Kampung Sri Indah, Sungai Buloh, kerana dipercayai
terlibat kes pembunuhan rakan senegaranya pada 7 Mei lalu, pukul 1.50 pagi.
“Mangsa berusia
33 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di dalam rumah sewa mereka dan sebelum
kejadian mangsa dikatakan bergaduh dengan suspek,” katanya.
Mohd. Adnan
berkata, seorang lagi suspek juga warga Myanmar, dicari berhubung kes
pembunuhan lelaki berusia 24 tahun yang ditemui mati dengan kesan tikaman di
dada dalam bilik sewa di Subang Jaya pada 26 April lalu.
“Polis mencari
suspek, Tin Than Maung, 36, yang merupakan rakan sebilik mangsa kerana
dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan ini.
“Semua individu
terbabit diburu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
kerana membunuh,” katanya.
Beliau berkata,
orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta segera menghubungi
mana-mana balai polis berdekatan.
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment