KUALA TERENGGANU
9 Jun | Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib enggan mengulas lanjut
kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mahu seluruh pimpinan parti
itu turut serta dalam perhimpunan pembangkang 15 Jun ini.
Katanya, beliau
tidak tahu-menahu mengenai kenyataan itu dan tidak mahu membuat sebarang
ulasan.
"Saya tak
tahu pun. Jadi, saya malas nak komen panjang-panjang," katanya kepada
Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Harun berkata demikian
ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohamad atau lebih dikenali sebagai
Mat Sabu selepas mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat di Ibu Pejabat Pas di Kuala
Lumpur hari ini.
Menurut Mat
Sabu, jawatankuasa itu sebulat suara bersetuju supaya parti tersebut mengambil
bahagian dalam perhimpunan berkenaan.
"Ya. Kita
akan hadir. Dalam mesyuarat tadi semua sebulat suara bersetuju untuk
hadir," katanya seperti yang dilaporkan portal propembangkang,
Malaysiakini.
Kenyataan itu
sekali gus bertentangan dengan pendirian yang disuarakan Harun sebelum ini
bahawa Pas tidak menganjur atau mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut
kerana menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Mengulas
mengenai perbezaan pendirian itu, Harun sekadar menegaskan, menyertai
perhimpunan bagi penyokong dan pemimpin Pas adalah perkara biasa.
"Kita
memang 'sokmo' (selalu) pergi himpunan. Pergi dengar ceramah dan sebagainya.
Biasalah," katanya.
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment