TIDAK sampai 24
jam selepas dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,
ternyata manifesto Barisan Nasional (BN) yang bertemakan 'Menepati Janji
Membawa Harapan' mendapat reaksi yang begitu hebat sekali. Mungkin ini kali
pertama sejak beberapa dekad lalu, manifesto pilihan raya umum di negara ini
menjadi topik perbualan utama rakyat Malaysia.
BN telah
memperkenal 17 perkara yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan rakyat.
Paling utama, manifesto kali ini memberi perincian terhadap apa yang akan BN
lakukan dalam masa lima tahun akan datang.
Nampaknya,
pemerincian janji-janji yang dibuat oleh BN menyebabkan Pakatan Rakyat (PR)
hilang arah dan mula menuduh BN meniru manifesto mereka.
Manifesto harus
dilihat secara keseluruhan bukannya secara satu isu lawan satu isu. Pengurusan
kewangan dan polisi negara perlu dinilai secara menyeluruh dan komprehensif.
Untuk perbahasan
kita boleh akui topik-topik yang diutarakan oleh manifesto PR turut disebut
dalam manifesto BN. Namun idea yang sama seperti harga kereta, pemberian
bantuan kepada orang miskin, sistem pendidikan, kos sara hidup adalah isu
universal yang diperkatakan oleh orang ramai.
HARGA KERETA
Manifesto PR
Cukai eksais
kereta akan diturunkan secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam
tempoh 5 tahun agar harga kereta lebih berdaya saing.
Mewujudkan
industri automotif negara yang benar-benar berdaya saing dan boleh mengeluarkan
kereta pada harga serendah RM25,000 sebuah.
Manifesto BN
Menyemak semula
Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara
berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya
saing kereta nasional.
Kerajaan telah
mengumumkan Dasar Automatif Negara yang dikaji semula pada 2009 yang antara
lain menyatakan: “Adalah menjadi keutamaan kepada MITI dalam mempromosikan
perdagangan antarabangsa yang bebas dan menguntungkan negara. Di bawah
Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), Malaysia komited untuk mengurang atau
menghapuskan duti import semasa secara berperingkat.” Ini bermakna kerajaan
sejak 2009 telah merancang pengurangan
harga kereta secara berperingkat. Jika pengenalan Dasar Automatif Nasional 2006
dan 2009 yang diperkenal kerajaan diambil kira, maka jelas peniru sebenar ialah
PR.
DASAR PERUMAHAN
Manifesto PR
150,000 rumah
mampu milik dalam kategori kos rendah (bawah RM75,000) dan kategori kos
sederhana (antara RM150,000 hingga RM250,000) akan dibina pada penggal pertama
pentadbiran PR.
Manifesto BN
Membina
1,000,000 rumah mampu milik – digerakkan oleh sektor awam dan swasta – termasuk
500,000 buah rumah PR1MA.
Kerajaan
mempunyai Dasar Perumahan Negara mampu milik sejak tahun 2000 lagi melalui
penubuhan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Pada tahun 2008, SPNB
berjaya melancarkan 24 buah projek perumahan di seluruh negara dengan
menawarkan sebanyak 21,891 unit rumah pelbagai jenis di bawah program Rumah
Mampu Milik. Malah perdana menteri telah melancarkan Perumahan Rakyat 1Malaysia
(PR1MA) Berhad yang ditubuhkan selaras dengan Akta PR1MA 2012. PR1MA
bertanggungjawab merancang, membangun, membina dan menyenggara perumahan gaya
hidup berpatutan untuk rakyat berpendapatan sederhana di kawasan bandar-bandar
utama. Pendapatan sederhana didefinisikan sebagai pendapatan bulanan isi rumah
(suami dan isteri) antara RM2,500 hingga RM7,500.00. Manifesto BN sebenarnya
kesinambungan program kerajaan sedia ada.
KERETA API LAJU
Manifesto PR
Memulakan
langkah ke arah membina sistem kereta api laju antara bandar yang pertama di
rantau Asia Tenggara.
Manifesto BN
Melaksanakan
rangkaian rel berkelajuan tinggi dan memperluaskan sistem landasan kereta api
berkembar.
Pada 1995,
Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad
dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-5 telah mencadangkan pembinaan sebuah landasan
kereta api yang bermula dari Singapura dan melintasi Malaysia, Thailand,
Vietnam, Myanmar, Kemboja hingga ke Kunming, ibu kota provinsi Yunnan China.
Pemimpin pelbagai negara ASEAN dan China telah menyatakan persetujuan terhadap
cadangan tersebut.
LEBUH RAYA SABAH DAN SARAWAK
Manifesto PR
Memulakan
pembinaan lebuh raya merentasi Sabah dan Sarawak yang menghubungkan Kuching ke
Kota Kinabalu dan Kudat.
Manifesto BN
Membina 2,300 km
Lebuhraya Pan Borneo bermula dari Sematan, Sarawak hingga ke Serudung, Sabah.
Lebuh Raya Pan
Borneo telah dirancang sejak 1970-an dan sebahagiannya telah disiapkan. Akibat
kemelesetan ekonomi kerajaan menangguhkan sebahagiannya. Pada Februari 2012,
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor memaklumkan Kerajaan Persekutuan
akan mengaktifkan semula kerja menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo yang menelan
belanja RM423 juta yang diluluskan di bawah RMK-10.
ROYALTI PETROLEUM
Manifesto PR
Menaikkan
royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas dari 5% ke 20%.
Manifesto BN
Meneruskan
bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan
pembangunan sehingga melebihi 20% daripada perolehan minyak dan gas kepada
Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Tidak ada janji
PR untuk menaikkan royalti minyak dalam Manifesto PR (PR akui kesilapan royalti
minyak tertinggal). Namun jika PR membawa masuk pun dalam manifesto mereka yang
telah diubah, ia tidak menjejaskan apa-apa kerana BN sejak dahulu telah
menegaskan bahawa sungguhpun bayaran
royalti hanya 5% kepada negeri pengeluar minyak dan gas namun peruntukan yang
mereka terima setiap tahun kadang-kadang boleh mencecah sehingga 20% daripada
hasil keuntungan minyak negeri tersebut. Ini bermakna apa yang dijanji oleh BN
dalam manifesto hanyalah memperkukuhkan apa yang dibuat sebelum ini secara aku
janji.
PERMIT TEKSI
Manifesto PR
Permit teksi
akan diberikan terus kepada pemandu teksi dengan tujuan melahirkan lebih ramai
usahawan teksi.
Manifesto BN
Meningkatkan
jumlah permit teksi individu.
Tiada sebarang
peniruan dalam dakwaan ini kerana manifesto BN
hanya menjanjikan untuk meningkatkan jumlah permit teksi individu
bukannya menghapuskan permit teksi syarikat. Malahan dalam sidang Dewan Rakyat
Oktober 2012, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan
telah menyatakan bahawa kerajaan bercadang untuk memberi sejumlah permit teksi
kepada individu yang layak dalam usaha membaiki sistem penyewaan teksi.
Hasilnya pada
Mac 2013 yang lalu kerajaan telah meluluskan 1,000 permit teksi individu.
Malahan mereka ini telah diberi geran RM5,000 bagi pembelian Proton Exora.
Bagaimana sesuatu yang telah kerajaan janjikan sejak tahun lalu dan
dilaksanakan tahun ini dianggap meniru manifesto PR yang baru dilancarkan tahun
ini?
PANGKALAN DATA
Manifesto PR
Mewujudkan
sistem pangkalan data nasional bersepadu mengenai maklumat sosio ekonomi rakyat
dengan menggabungkan semua maklumat sedia ada yang kini diuruskan secara
berasingan oleh pelbagai agensi dan badan.
Manifesto BN
Memperhalusi dan
menambah baik jaringan bantuan keselamatan menerusi sistem pangkalan data yang
bersepadu.
Pertamanya,
manifesto BN bercakap soal manambaih baik sistem yang sedia ada, sebaliknya PR
bercakap soal mewujudkan sistem pangkalan data nasional bersepadu mengenai
sosioekonomi rakyat. Sebenarnya apa yang dicadangkan PR telah wujud melalui
pangkalan data e-Kasih, dan juga Jabatan Statistik.
Hanya kerana PR
melancarkan manifestonya lebih awal apakah bermakna BN tidak boleh menimbulkan
isu yang sama dalam manifestonya? Memang diakui bahawa manifesto PR lebih indah
daripada manifesto BN. Justeru PR tidak perlu risau jika ada sebahagian idea
dalam manifesto PR turut diambil kira oleh BN.
Namun apa yang
perlu PR risaukan ialah apakah majoriti rakyat akan mempercayai manifesto yang
'menjanjikan bulan dan bintang' tersebut?
Ini kerana
banyak manifesto PRU yang lalu tidak ditunaikan, manakala Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri mengatakan bahawa manifesto itu
bukan janji yang perlu ditunaikan.
Jadi, untuk apa
dipercayai?
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment