Filem Darah
Satria dan Prebet Lapok cukup hebat suatu ketika dahulu. Paling terkesan filem
Darah Satria yang mana memperlihatkan perjuangan tentera menentang komunis di
hutan. Realitinya hari ini, ia dianggap lebih kurang sama dengan situasi yang
berlaku di Lahad Datu, Sabah.
Penerbit,
pengarah, penulis skrip dan pelawak terkenal, AR Badul punyai seribu satu
kenangan mengenai hidup ala tentera. Berkampung dalam tempoh lama bagi
menyiapkan filem tersebut, sudah pasti Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman
Ramlie terasa terkesan apabila ada yang mempertikaikan perjuangan anggota
keselamatan kita di Sabah. Wartawan Sinar Harian, HASLI NA KAMALUDIN dan NOR
FAIZAL GHAZALI bersama jurufoto ZULFADHLI ZAKI mendapatkan reaksi Badul
mengenai insiden ini.
Bagaimana
tercetusnya idea untuk menghasilkan filem Darah Satria?
Idea
ini bermula daripada produser ketika itu yang mahukan genre berbeza daripada
cinta. Tetapi dalam masa sama, tidak meninggalkan terus elemen cinta dalam
filem. Menerusi perbincangan, kami ambil keputusan untuk mengetengahkan kisah
tentera. Mesejnya mudah, iaitu tugas sebagai tentera adalah lain daripada yang
lain yang sedia berkorban diri untuk negara. Masih wujud unsur cinta tetapi
dengan cara positif di mana tunang anggota tentera ini rela dan mendoakan orang
tersayang pergi berjuang di medan perang. Selain berlakon, saya bertindak
sebagai penolong pengarah, di samping Datuk Aziz Satar sebagai pengarah.
Bagaimana
dengan pra-perfileman, memandangkan ia berkaitan tentera?
Kita
sangat bertuah dan berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan yang memberi
sepenuh sokongan terhadap filem ini. Penggambaran dilakukan dalam kem dan di
hutan Gombak. Pegawai tentera ketika itu memberi tunjuk ajar serta latihan
kepada kami sebelum memulakan penggambaran. Kami juga dibenarkan menggunakan
senjata, lokasi, pakaian sebenar seorang tentera. Kami juga direkrut pegawai
khas sepanjang penggambaran.
Berapa kos
filem dan berapa lama penggambaran di dalam hutan?
Untuk
filem Darah Satria, kos filem mencecah RM100,000. Ia jumlah yang besar pada
ketika itu dan merangkumi semuanya termasuk promosi. Kami berkampung selama dua
minggu di hutan. Kami melalui kehidupan seperti tentera seperti mengalami
sendiri pengalaman tidur dalam khemah, makanan dan semua perkara yang dilakukan
tentera. Bukan senang kerana selain daripada pelakon tambahan yang ramai, kami
juga menggunakan senjata sebenar. Berat dan kami perlu berhati-hati. Semua ini
demi untuk memastikan filem ini sukses.
Apakah
kesukaran dalam menyiapkan filem tersebut?
Kami
diberi peluang untuk menggunakan helikopter dalam beberapa babak. Kebanyakan
aksi dilakonkan pelakon sendiri. Aksi paling sukar adalah situasi di dalam
helikopter. Pelakon perlu turun dari helikopter menggunakan tali. Bukan sahaja
tinggi, malah angin yang kuat juga menambah kesukaran. Kami hanya diberi
latihan terjun tiga hari. Tetapi segala-galanya berjalan lancar. Selain itu,
memegang senjata sebenar juga adalah masalah besar buat kami. Kami risau takut
perkara yang tidak diingini berlaku.
Adakah
pada ketika itu mahu menaikkan semangat patriotik rakyat Malaysia?
Pada
asalnya, kita hanya ingin tukar tajuk sahaja. Tapi, apabila ditayangkan,
mendapat sambutan kerana genre berbeza, ia secara langsung memberi impak
positif kepada penonton dan lebih patriotik daripada biasa.
Selain
Darah Satria, anda turut terlibat dalam filem ala tentera iaitu Prebet Lapok.
Ya,
filem Prebet Lapok, saya diberi peranan utama. Masih mengisahkan hidup ala
tentera. Ia juga disampaikan secara ringan iaitu bagaimana kehidupan tentera di
kem. Ada juga tentera keluar malam, masalah disiplin dan sebagainya. Filem ini
berjaya menarik ramai anak muda ketika itu untuk menyertai tentera. Untuk jadi
tentera, hanya perlu ada semangat, disiplin dan rela berkorban nyawa untuk
agama, bangsa dan negara.
Melihat
situasi sebenar tentera berperang di Lahad Datu, apakah anda boleh digambarkan?
Pertama,
ia mengingatkan kenangan saya berlakon di hutan dulu. Walaupun hanya berlakon,
tetapi bukan mudah. Beg dan senjata yang berat. Kami perlu fokus. Melihat apa
yang berlaku di depan mata kita ini membuatkan saya terasa ingin berjuang
bersama mereka. Saya dapat rasakan betapa sukarnya mereka menjaga keamanan
negara kita dan bagaimana mereka perlu berdepan dengan musuh sebenar. Semangat
mereka ada dengan saya. Tapi, apa yang boleh, saya hanya doakan yang terbaik.
Mereka adalah tentera terlatih. Saya bangga dengan mereka.
Khabarnya,
ada antara ahli keluarga anda juga seorang tentera?
Ya,
anak lelaki saya adalah komando VAT69. Dia juga dihantar ke Lahad Datu dan juga
banyak misi di luar negara. Kerana itu, saya sangat faham perasaan keluarga
tentera.
Apakah
kewajaran untuk pengarah filem menghasilkan filem patriotik pada masa sekarang?
Kita
sebenarnya tidak banyak sejarah perang, soal buat filem itu terserah kepada
produser. Pada masa sekarang perlu buat filem yang melambangkan kedaulatan
negara dan keperkasaan tentera kita. Jangan buat filem 'pak turut dan pak
sangkut' saja yang akan merosakkan institusi Malaysia.
Apakah
anda akan menghasilkan filem patriotik?
Kalau
ada permintaan saya akan pertimbangkan untuk mengarah.
Apa komen
anda mengenai persepsi yang mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan di
Lahad Datu?
Negara
kita jarang berperang. Kerana itu, mereka seperti tidak ada perasaan kasih
sayang. Sudah macam hilang akal dengan melemparkan pelbagai tohmah dan
kata-kata negatif. Sedangkan kalau ada berlaku kemalangan jalan raya pun kita
rasa simpati. Inikan pula tentera yang ingin mempertahankan kedaulatan negara.
Seharusnya mendengar tentera perlu bertugas ke Lahad Datu itu pun kita sudah
sugul dan sedih. Apabila kena tembak, mengapa tergamak mengatakan ini
sandiwara. Mereka tidak fikir orang lain. Cuba kalau saudara mereka ditembak.
Pasti sedih. Inilah yang berlaku apabila wujud pihak-pihak yang tidak pernah
fikir perasaan orang. Seolah-olah dalam otak mereka ada 'cip' yang ikut sahaja
cakap beberapa pihak yang mengaitkan isu ini dengan politik.
Apakah
situasi tentera hari ini melawan Sulu lebih teruk daripada zaman melawan
komunis dulu?
Bagi
saya, Sulu ni komunis moden. Ada duit, kedudukan dan penyokong. Jika mereka
berjaya, mereka akan dapat habuan dan bahagian tertentu. Komunis tidak kerana
mereka ada fokus. Saya lihat Sulu tiada fokus. Kenapa mereka mahu Sabah? Mereka
muncul tiba-tiba dalam keadaan dan saat sekarang (musim Pilihan Raya).
Bagaimanakah
pandangan anda dengan moral rakyat Malaysia terhadap anggota keselamatan?
Pasukan
keselamatan perlulah dihormati. Mereka ini harga yang tidak ternilai kepada
negara. Sekiranya negara menghadapi perang, merekalah benteng utama, bukan
bomba atau jururawat. Tanpa mereka habislah kita. Saya sangat bersimpati kepada
keluarga anggota keselamatan yang terkorban. Masyarakat perlu menghargai jasa
dan tanggungjawab mereka bukan menghina.
Apakah
harapan anda terhadap insiden Lahad Datu ini?
Saya
tahu ini adalah detik sukar untuk semua warga Malaysia dan pasukan keselamatan
kita. Perkara ini sudah pasti memakan masa agak lama untuk berakhir. Tetapi,
saya berharap tidak akan ada lagi kata-kata negatif terhadap pasukan
keselamatan. Saya berdoa perkara ini akan dapat ditamatkan dengan penuh
diplomasi.
Perlukah
kisah Lahad Datu difilemkan sebagai pengajaran kepada generasi akan datang?
Saya
rasa ia tidak perlu menjadi filem. Lebih baik dijadikan dokumentari. Pada saya,
siapa juga yang nak buat filem, ia tidak lari daripada nak dapat untung. Kalau
dokumentari ia akan lebih diberi perhatian. Minta maaf cakap, filem hanya untuk
untung.
Apakah
pandangan mengenai seniman atau artis yang memilih politik?
Pada
saya, mereka ini tidak jujurlah. Mereka kena tahu apa tujuan masuk politik?
Tidak perlu hipokrit. Kalau artis itu mahu bersihkan diri dan dekatkan diri
dengan agama, mereka tidak semestinya kena masuk politik. Sepatutnya mereka
perlu belajar dulu. Bila mereka masuk platform politik, secara tidak langsung
kita akan mengata orang juga, baik masuk pondok. Kita mahu berdakwah, kenalah
sedar standard diri kita. Contohi Ustaz Akhil Hayy, belajar dulu betul-betul
lepas itu bolehlah nak berceramah dan berdakwah.
Ada
sesetengah pihak dilihat terlalu ekstrem dengan politik, bagaimana anda melihat
situasi ini?
Pada
saya kita tidak perlu terlalu ekstrem dalam hal politik. Mana yang elok kita
turut, tak perlu ekstrem mana-mana parti politik. Siapa pun yang memerintah
negara, saya tetap macam ini juga. Kita perlu terbuka, jangan terlalu terikut
dengan apa yang orang cakap. Jadi kita ikut mana yang elok, mana yang kita rasa
betul. Satu hal lagi, mengapa jika ada pihak yang menghina negara diberi muka?
Kenapa kita terlalu berlembut? Minta maaf, paling tidak saman. Kalau orang
minum air ketum kita lempang pula. Ini orang yang sah-sah hina negara.
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment