KUALA TERENGGANU
– Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) akan tersenarai sebagai universiti
Islam ketiga di negara ini, selain Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
Setiausaha
Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah berkata, pengiktirafan kepada
Unisza sebagai universiti Islam berdasarkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak mahukan universiti berkenaan sebagai universiti Islam.
“Perdana Menteri
atau pihak universiti sendiri akan umumkan perkara ini. Memandangkan sebelum
ini, universiti yang bermula dengan nama Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin
(Kusza) cukup hebat dan terkenal sebagai kolej agama bagi penduduk Pantai
Timur, jadi amat bersesuaian sekiranya ia diiktiraf sebagai universiti Islam.
“Tambahan pula,
di Pantai Timur khususnya di Terengganu belum mempunyai sebuah universiti
Islam, jadi, pengiktirafan ini adalah permulaan terbaik untuk memartabatkan
universiti Islam di negara ini,” katanya pada sesi lawatan kerja ke Unisza,
semalam.
Unisza yang kini
mempunyai tiga cawangan iaitu di Kampus Gong Badak, Kampus Kota dan Kampus
Besut telah berusia enam tahun. Ia dikenali sebagai Universiti Darul Iman
sebelum ditukar secara rasmi kepada Unisza pada 2010.
Sementara itu,
Naib Canselor Unisza, Prof. Dr Yahya Ibrahim berkata, sebuah bangunan canselori
bernilai RM20 juta dan bangunan asrama baru bagi menempatkan 3,000 pelajar
bernilai RM150 juta akan dibangunkan.
Menurutnya,
pihaknya telah menghantar permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
dan ia telah mendapat maklum balas positif dalam tempoh terdekat.
“Kita baru mohon
dengan KPT untuk bangunkan bangunan canselori kerana kita berhasrat hendak
menjadikan kampus Gong Badak ini sebagai kampus induk. Selepas ini,
infrastruktur lain akan menyusul termasuk pembinaan kompleks sukan.
“Kita juga akan
wujudkan Sekolah Imtiaz Unisza supaya pelajar-pelajar terbaik yang dihasilkan
dari sekolah berkenaan dapat menyambung terus pengajian di Unisza dan memilih
universiti ini sebagai pilihan utama,” katanya.
Beliau berkata,
pembinaannya masih di peringkat perancangan dan kertas kerja mengenainya belum
dibawa ke peringkat tertinggi.
“Kita cuma
rancang membinanya berdekatan dengan kampus atau di kawasan-kawasan sesuai di
mana ia akan ditentukan oleh Unisza Holding.
“Kita juga
merancang memperluaskan Unisza di peringkat nasional dan antarabangsa dengan
membina kampus di Kuala Lumpur serta menawarkan pelbagai program yang dijangka
akan mendapat sambutan,” katanya.
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment