Kuala Lumpur:
Mulai tahun ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan syarat baru
dalam pengambilan serta melatih pegawai dan anggota sejajar hasrat negara
menjadikan warga pasukan itu bertaraf dunia.
Panglimanya,
Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata syarat baru yang diperkenalkan itu
merangkumi dua perubahan dalam pengambilan pegawai dan anggota yang akan
dinilai melalui kelulusan akademik.
Laksana Awal
Tahun Ini
“Syarat baru ini
kami mula laksanakan awal tahun ini, iaitu jika seseorang individu memohon
menjadi pegawai muda, kelayakan akademik dinilai adalah dengan memiliki ijazah
kelas pertama dengan kepujian dalam mana-mana bidang.
“Berbeza dengan
syarat sebelumnya yang hanya dinilai dengan memiliki ijazah, tanpa mengira
kelas pertama atau kedua dan diploma dalam apa-apa bidang,” katanya, baru-baru
ini.
Zulkifeli
berkata, syarat baru kedua ialah individu yang memohon untuk pengambilan
anggota lain-lain pangkat hendaklah lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM).
Beliau berkata,
sebelum ini permohonan untuk jawatan anggota lain-lain pangkat sekadar
memerlukan kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Ini selaras
hasrat ATM khususnya dan negara amnya dalam menjadikan pegawai dan anggota ATM
bukan saja mempunyai kelebihan fizikal dan mental, malah kelebihan dari segi
akademik yang mampu mengangkat nama ATM,” katanya.
0 comments:
Post a Comment