KUALA LUMPUR 23
Jan: Sistem pendidikan negara sekarang melahirkan golongan bebalisme yang
akhirnya hanya tahu mengampu kerajaan tetapi gagal menyelesaikan masalah
dihadapi rakyat, kata Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM), Dr Maszlee Malik.
Katanya,
golongan berwatak pandir itu terbentuk melalui dua budaya yang subur dalam
universiti iaitu naungan (patronage) dan takut (fear).
“Ahli akademi
berkepentingan hanya melihat kepada ahli politik untuk mendapatkan pangkat
Datuk Seri, profesor dan takut mendapat surat amaran.
“Kedua, budaya
takut menyebabkan ahli akademi dan mahasiswa hilang sifat berani, hilang jati
diri dan kebolehan berfikir kerana takut dengan pelbagai ancaman dan ugutan.
“Akhirnya,
kedua-dua budaya negatif itu membentuk ‘pembonsaian’ (pembantutan) pemikiran
warga universiti dan hanya tahu ‘listen’.
“Pembonsaian ini
sebenarnya satu bentuk ‘pemerkosaan’ hak berfikir mahasiswa dan ahli akademi.
Mereka akhirnya membebankan negara,” jelasnya pada Forum Kebebasan Akademik dan
Hak Asasi di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), malam tadi.
Panel lain
adalah bekas Pensyarah Undang-undang (UIAM), Prof Dr Aziz Bari dan mahasiswa
pencetus fenomena ‘listen’ dari Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani.
Forum itu dipenuhi
kira-kira 300 hadirin walaupun tanpa kehadiran Presiden Suara Wanita 1 Malaysia
(SW1M), Sharifah Zohra Jabeen, yang menolak jemputan itu sejak awal.
Dr Maszlee
berkata, universiti ‘mandul’ melahirkan manusia beraspirasi seperti Syed Hussin
al Attas yang mampu memimpin, membimbing dan perjuangkan nasib rakyat.
“Awal 80-an,
Syed Muhammad Naquib al-Attas menegur universiti hanya menjadi kilang yang
menghasilkan graduan mengikut kehendak pasaran tanpa mengendah kualiti dan
kesan terhadap ilmu dan pembangunan masyarakat.
“Hasilnya,
masyarakat terus miskin, papa kedana. Yang kaya pula bertambah kaya kerana
mendapat projek melalui ketirisan, korupsi dan sebagainya.
“Graduan pula
membisu dan terpendam dalam sektor pekerjaan sahaja,” ujarnya.
Maszlee
menjelaskan, keadaan universiti yang hilang rohnya sebagai medan ilmu dan
graduan dan intelektual tidak lagi berperanan dalam proses pembangunan negara
seperti yang ditegaskan oleh pemikir Iran, Ali Syariati bahawa universiti
sepatutnya melahirkan rausyanfikir iaitu golongan intelektual yang membawa
pencerahan kepada masyarakat.
“Pemikir
kelahiran Palestin, Edward Said berkata, universiti sepatutnya membentuk
intelektual yang gigih mendidik masyarakat dan negara lantas memperjuangkan
nasib rakyat dan berani berdiri di hadapan diktator dan penguasa zalim.
“Guru dan
sahabat saya, Prof Tariq Ramadhan menegaskan sistem pendidikan terbaik bukan
hanya menghasilkan graduan, tetapi menghasilkan individu berani yang
perjuangkan hak mereka dalam sistem yang zalim,” katanya.
0 comments:
Post a Comment