Kita Dalam Kumpulan 15 Negara Sedang Menyinar
Malaysia
disenaraikan sebagai negara berpotensi besar berkembang dan mampu muncul antara
tiga jenama negara utama dunia pada masa depan, bersama Emiriah Arab Bersatu
(UAE) dan Chile.
Ini meletakkan
Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang mendapat pengiktirafan
berkenaan.
Mengikut laporan
Indeks Jenama Negara Tahunan (CBI) FutureBrand yang dikeluarkan semalam,
Switzerland kini adalah jenama negara paling utama di dunia, diikuti Kanada,
Jepun, Sweden dan New Zealand.
Malaysia berada
di kedudukan ketujuh di kalangan negara Asia Pasifik dalam laporan itu,
sementara secara keseluruhannya, negara ini di senaraikan di kedudukan ke-36.
Dalam laporan
indeks edisi kelapan itu, FutureBrand menyatakan Malaysia yang kini berada dalam
‘kumpulan 15 negara sedang menyinar’, memiliki prospek paling tinggi untuk
berkembang sebagai jenama negara paling utama dunia.
Prospek Tinggi
Di bawah
‘kumpulan 15 negara sedang menyinar’ berkenaan, indeks itu menyenaraikan UAE,
Chile, Malaysia, Qatar dan Estonia sebagai lima negara yang memiliki prospek
tinggi untuk menggantikan Switzerland, Kanada, Jepun, Sweden dan New Zealand
sebagai lima jenama negara paling utama di dunia sekarang.
Ketua Eksekutif
FutureBrand Asia Tenggara, Sarah Reiter berkata, penilaian itu dibuat
bersandarkan kepada perkembangan positif hasil pelaksanaan transformasi yang
dilaksanakan kerajaan dalam bidang tadbir urus, modal insan, pertumbuhan
ekonomi, daya tahan dan kemampanan sistem ekonomi, pengaruh dan pelaburan.
“Sejajar dengan
pertumbuhan ekonomi yang progresif disokong sistem kawal selia terbaik, dan
pada masa sama mengamalkan toleransi agama dan sosial, Malaysia dilihat sebagai
sebuah negara yang cepat meningkat.
“Paling menarik
sekali ialah apabila bercakap mengenai reformasi ekonomi, pelaburan dan modal
insan, Malaysia wajar menjadi sebuah negara yang boleh dijadikan contoh untuk
diikuti,” katanya dalam taklimat media mengenai laporan terbaru CBI itu
semalam.
CBI ialah satu
kaji selidik global yang menilai dan membuat kajian mendalam ke atas 118 negara
di dunia.
Ia membuat
kajian dengan meneroka kerumitan, dinamik dan manfaat bagaimana sesebuah negara
itu boleh muncul sebagai satu jenama dan dikenali di seluruh dunia.
Hubungan Komersial
Kekuatan jenama
sesebuah negara itu diukur dan ditentukan dengan cara yang sama seperti
mana-mana jenama lain iaitu dari segi tahap kesedaran umum di kalangan komuniti
awam dan perniagaan global, kebiasaan, keutamaan, pertimbangan, advokasi, dan
keputusan aktif untuk melawat atau mewujudkan hubungan komersial dengan negara
berkenaan.
Reiter berkata,
dalam laporan CBI terkini itu, Malaysia sebagai jenama negara, jelas bergerak
dalam arah yang betul dengan mencatatkan peningkatan tujuh anak tangga daripada
kedudukan ke-43 tahun lalu.
Katanya, antara
penyumbang utama kepada peningkatan itu ialah faktor kebebasan politik yang
mencatatkan peningkatan 39 anak tangga ke-35 berbanding 74 sebelumnya;
persekitaran alam sekitar (meningkat 36 anak tangga ke-24); kestabilan
persekitaran perundangan (meningkat 20 anak tangga ke-38); pendidikan
(meningkat 27 anak tangga ke-29) dan peluang pekerjaan (meningkat 16 anak
tangga ke-24).
Faktor
penyumbang lain termasuk persekitaran pengawal seliaan pasaran (meningkat 18
anak tangga ke-28); sejarah (meningkat 34 anak tangga ke-49); aspek ketulenan
(meningkat 48 anak tangga ke-41); keindahan semula jadi (meningkat 27 anak
tangga ke-47) dan daya tarikan (meningkat 31 anak tangga ke-26).
0 comments:
Post a Comment