KUANTAN -
Beberapa kawasan di sekitar bandar Kuantan hari ini dilanda banjir kilat ekoran
hujan lebat yang berlarutan sejak malam semalam.
Kejadian itu
juga menyebabkan beberapa jalan utama di pusat bandar mengalami kesesakan lalu
lintas setelah jalan raya dinaiki air sedalam 1.5 meter.
Antara jalan
yang ditenggelami air setakat pukul 3 petang ini ialah Jalan Tun Ismail Satu,
Jalan Beserah, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Abd Aziz, Jalan
Mahkota, Jalan Bukit Ubi, Jalan Air Putih, Jalan Pasar dan Terminal Makmur.
Tinjauan Bernama
di beberapa kawasan sekitar pusat bandar mendapati banyak kenderaan yang
terkandas di jalan raya dan beberapa premis serta pusat beli-belah utama
terpaksa menutup perniagaan akibat situasi yang tidak terduga itu.
Di kawasan Air
Putih dan Semambu, orang ramai mula meninggalkan rumah masing-masing seawal
pukul 10 pagi dan menyelamatkan barangan keperluan utama setelah paras air
sebatang anak sungai di sini melimpah dan naik sehingga 1 meter.
Tinjauan juga
mendapati beberapa taman perumahan iaitu di Sungai Isap, Taman LKNP, Bukit
Setongkol, Taman Perumahan Transit Quarters dan Taman Teratai turut
ditenggelami air antara 0.1 meter dan satu meter.
Sementara itu di
Jerantut, polis menasihati 10,000 penduduk yang tinggal di kawasan rendah
sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang di daerah itu supaya berpindah
segera jika paras air kedua-dua sungai naik.
Ketua Polis
Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata keadaan cuaca yang tidak menentu
dengan hujan setiap petang sejak tiga hari lalu boleh menyebabkan air Sungai
Tembeling dan Sungai Pahang naik bila-bila masa.
Bercakap kepada
Bernama hari ini, beliau turut menasihati 50 pengusaha bot pelancong ke Taman
Negara supaya menghentikan segera perkhidmatan jika paras air Sungai Tembeling
naik.
Ini, katanya
sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi mengutamakan keselamatan penumpang.
0 comments:
Post a Comment