Kerajaan Pusat bantu tak kira latar belakang, fahaman politik
Rantau Panjang:
Setiap keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan rasmi akibat banjir akan
diberikan bantuan RM500 oleh Kerajaan Pusat tanpa mengira latar belakang mereka
termasuk fahaman politik.
Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan
Bencana Negara, berkata ia adalah komitmen kerajaan Pusat dalam membantu
meringankan beban rakyat selain menepati janji mendahulukan rakyat.
“Seperti sebelum
ini, bantuan RM500 akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa banjir dan ia
akan diteruskan tanpa mengira bangsa serta fahaman politik. Untuk menikmati
bantuan ini, mangsa banjir hendaklah yang berpindah ke pusat pemindahan
disediakan selain mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Wang Ehsan
“Saya sudah
mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera menyediakan bantuan ini
sebaik mangsa kembali ke rumah masing-masing apabila keadaan pulih sepenuhnya
nanti. Bantuan jangan lama (lambat) sangat, seminggu dua harus sampai kepada
mangsa terbabit,” katanya.
Muhyiddin
berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di
Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini semalam. Turut serta isterinya,
Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri yang juga Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau yang
turut menyampaikan bantuan serta bertanya khabar mangsa banjir di sekolah
berkenaan yang setakat semalam menempatkan 915 penduduk dari 317 keluarga,
berkata mangsa banjir di Kelantan juga akan diberikan bantuan wang ehsan sebaik
Jawatankuasa Wang Ehsan negeri melakukan penilaian dan mengumpul maklumat
diperlukan.
Timbalan Perdana
Menteri juga menasihatkan penduduk yang kehilangan hasil pertanian serta
ternakan akibat bencana itu supaya menghubungi Jabatan Pertanian untuk bancian
dan taksiran ganti rugi.
Ketika melawat
lebih 2,000 mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Menengah Bukit Mentok,
Kemaman, Terengganu, Muhyiddin meminta ahli Barisan Nasional (BN) serta
pertubuhan sukarela turun padang memberi bantuan kepada mangsa bencana
berkenaan.
Bantu Bersih Rumah
“Bila mangsa
balik ke rumah, bukan saja badan sukarela, pemimpin politik BN, ahli parti
perlu turun bantu bersihkan rumah mereka, tolong baiki kerosakan. Kita bantu
mereka yang perlukan bantuan, ini komitmen kerajaan untuk bantu, tiada pilih
bulu, tiada pilih kasih, bantuan untuk pastikan semua mangsa selamat,” katanya.
Timbalan Perdana
Menteri turut meminta penduduk di kawasan bencana mengikut arahan pihak
berkuasa untuk berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini selain
menasihatkan mereka berhati-hati dan menjaga keluarga terutama kanak-kanak
ketika musim banjir.
0 comments:
Post a Comment