Saifudin Nasution, Setiausaha Agung PKR telah mengambil peranan utama menyerang dan
mempertikai integriti Tan Sri Khalid Ibrahim
selepas Menteri Besar Selangor itu dipecat daripada partinya.
Ia adalah hak
politik dan kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan. Saifudin cuba
mengamalkan haknya mengikut semangat perlembagaan.
Peranan itu sama
dengan yang dimainkan oleh Tan Sri Syed Jaafar Albar, Ketua Penerangan Umno
apabila Dato’ Onn Jaafar dan Aziz Ishak, Menteri Pertanian apabila keduanya
menentang Umno. Albar jadi satu-satunya Singa Umno setakat ini kerana tidak
terjejas dengan krisis besarnya ketika itu.
Tetapi PKR belum
tentu utuh dalam krisisnya sekarang kerana ia adalah pembangkang yang belum
tentu disokong oleh orang atas pagar. Umno ketika disokong oleh semua.
Maka bolehkah
pula Saifudin muncul sebagai Singa PKR telah menjadi hulubalang menghadapi apa
yang dikira karenah Khalid Ibrahim?
Khalid boleh
diagak nasibnya. Dia boleh tidak jadi Menteri Besar lagi dan belum tentu
berpolitik lagi selepas krisis ini reda nanti. Atau dia ada lagi. Apa pun
biarlah Khalid menghadapi risiko atas sikap dan kepercayaannya.
Tetapi krisis MB
Selangor ini memberi risiko besar kepada PKR. Apa jadi pada PAS dan DAP adalah
masalah yang mereka terpaksa lalui daripada tempias krisis yang bukan berpunca
daripada mereka.
Beruntunglah
jika PKR selamat hingga selepas Anwar Ibrahim mati. Saifudin boleh kekal jadi
Setiausaha Agung selagi ada tenaga. Tetapi bagaimana kalau PKR terus susut ahli
dan penyokong dan bukan mustahil orang baris depan susut sama?
Jika ini yang
berlaku Saifudin hendak ke mana?
Hendak kembali
ke dalam PAS, dia sudah pukul PAS cukup kuat. Dan dia sudah meninggalkan PAS
bersama Fuad Zarkasi, Chik Johan, calon BN Pasir Mas PRU 13 yang tidak
menyerahkan borang pencalonannya dulu. Ada dua tiga orang lagi bersamanya
keluar PAS masuk Umno. Masa dalam Umno, dia jadi meriam membedil PAS.
Apabila Anwar
dipecat, Saifudin antara beribu orang Umno yang meninggalkan Umno untuk bersama
dengan Anwar dan sanggup bersusah bersama lain-lain pejuang reformasi
menghadapi tekanan Umno dan Kerajaan.
Ramai orang lari
daripada Anwar dan meninggalkan PKR tetapi tidak Saifudin. Dia gigih dan
sanggup menghadapi apa jua badai. Inilah orang yang kita mahu dalam perjuangan.
Sebagai
hulubalang PKR menentang Umno, penampilannya menyerang Umno tidaklah kurang
dibandingkan dengan tokoh-tokoh besar PKR seperti Azmin Ali dan lain-lain.
Jika ditakdirkan
PKR tidak dapat bertahan 10 atau 15 tahun lagi ke mana Saifudin hendak pergi?
Untuk kembali semula ke dalam Umno? Suatu yang kita fikir tidak sanggup dibuat
oleh yang berpendirian kuat sepertinya.
Jika kita tidak
fikir Anwar akan memilih Umno semula, maka rasanya Saifudin tidak tergamak.
Saya tidak fikir
PKR akan menjual diri seperti Parti Semangat Melayu 46, bubar dan beramai-ramai
menyertai Umno.
Tengku Razaleigh
sekurang-kurangnya ada harga, dapat kekalkan Gua Msang sehingga ini. Tetapi apa
yang didapatinya dari Umno selain daripada ketua di Gua Musang. Mungkin Umno
boleh beri sesuatu kepadanya jika kembali kepada Umno sekarang. Jika 15 tahun
lagi hendak kembali kepada Umno, dalam usia yang lebih 70 tahun, nak buat apa dan
nak dapat apa lagi dalam politik?
Pilihan yang ada
padanya ialah DAP. Ia pilihan yang ada sekarang. Tetapi 15 tahun lagi tak jadi
apa-apa juga.
Saya tidak
bersangka buruk kepada PKR dan orang-orangnya. Apa yang dapat kiranya parti
berdepan krisis? Apa yang patut bagi menenangkan keadaan. Jaga parti dengan
baik. Jangan jadi hulubalang berlebihan! Apa jadi pada Khalid, biarkan dia,
tetapi kita yang tinggal ini hendak ke mana?
0 comments:
Post a Comment