Akhir-akhir ini,
dunia perniagaan dan pelaburan secara dalam talian (online) di negara kita
dikejutkan dengan kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa
operasi urus noaga wata wang atau forex online yang dijalankan oleh individu
melalui broker-broker dalam talian adalah tidak menepati syarak.
Walaupun fatwa
dan keputusan sudah dikeluarkan sejak 2012, didapati masih ramai daripada
kalangan pemain-pemain forex masih tidak mengendahkan fatwa tersebut, terutama
kalangan mereka yang sudah ketagih dengan aktiviti forex.
Sebenarnya isu
forex online telah acapkali dibincangkan dan dijelaskan kedudukan hukumnya oleh
mereka yang ahli dalam syariah, khasnya bidang muamalat. Pada pertengahan 2011,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menganjurkan satu muzakarah
membincangkan isu Forex ini, di mana beberapa penyelidik yang ahli dan pakar
dalam bidang muamalat telah mengkaji isu forex online ini dan didapati
operasinya yang dijalankan oleh individu melalui platform elektronik
mengandungi banyak unsur yang tidak menepati syariah atau isu yang menjejaskan
kesahihan transaksi forex online
Antara unsur
yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat ialah:
Isu leverage
Forex online
tidak dapat dipisahkan daripada unsur leverage. Tidak akan ada pedagang
(trader) kecil-kecilan akan berurusniaga di platform forex online jika broker
tidak memberikan leverage. Secara mudahnya leverage ialah gandaan kewangan yang
diberikan oleh broker supaya individu dapat berdagang Forex melebihi modal
sebenar. Contohnya jika broker memberikan leverage 100:1, bererti dengan
deposit sebanyak USD100, seorang trader dapat melakukan urus niaga (trading)
bernilai USD10,000.
Daripada sudut
fikah, akad yang paling hampir dengan unsur leverage ialah akan qard iaitu
pinjaman kewangan. Iaitu broker memberi pinjaman kepada trader sejumlah wang
untuk diniagakan. Jadi apa masalahnya dengan leverage?
Apabila leverage
adalah satu bentuk pinjaman, di sini terdapat unsur mensyaratkan akad jual beli
dengan pinjaman. Atau dengan kata lain, broker memberi pinjaman kewangan dengan
syarat trader hendaklah melakukan trading forex dengan broker.
Dalam isu
leverage, broker bukan sahaja mensyaratkan melakukan trading dengan pinjaman
tersebut, malahan akad pinjaman dan akad jual beli mata wang berlaku secara
sekali gus dengan menekan satu butang sahaja. Dua akad disekalikan dan tidak
dipisahkan. Kerana pemberian leverage hanya akan terpapar di platform apabila
seseorang trader membuka satu-satu posisi.
Di dalam fikah,
meletakkan syarat akad jual beli lain di dalam akad pinjaman adalah tidak
dibenarkan. Ia dikenali dengan permasalahan ‘Bay wa
salaf’ iaitu jual beli berserta dengan pinjaman. Pengharamannya
disepakati secara ijmak oleh seluruh ulama.
Al-Qarafi
menyebut: “Dan dengan ijmak umat bahawa diharuskan
jual beli dan pinjaman secara berasingan dan haram kedua-duanya secara
bersekali, kerana ia adalah laluan riba." (Al-Furuq, 3/266)
Di dalam konteks
perdagangan forex, ia didapati termasuk di dalam umum larangan ini, kerana
broker hanya menyediakan pinjaman di atas nama leverage kepada pedagang yang
membuka posisi di platformnya sahaja.
Isu Qabd (Possession)
Forex adalah
pertukaran antara satu mata wang dengan mata wang yang lain. Dari sudut
fikahnya ia adalah satu bentuk jual beli al-Sarf yang pada zaman dahulunya
seumpama menukar emas dengan perak atau menukar dinar dengan dirham. Syarak
telah meletakkan syarat bahawa dalam jual beli al-Sarf, hendaklah berlaku
penyerahan dua item yang ditukar.
Dalam konteks
forex, mesti berlaku penyerahan antara dua mata wang di dalam majlis akad,
dengan mengambil kira bahawa penyerahan boleh berlaku secara hakiki (fizikal)
dan juga hukmi (konstruktif).
Contoh
penyerahan fizikal ialah dengan menyerahkan mata wang secara langsung kepada
orang yang membelinya. Manakala contoh penyerahan hukmi ialah melalui
pemindahan wang daripada akaun ke akaun lain.
Berlakukah Qabd
dalam forex online? Untuk menjawab persoalan ini kita perlu memahami bagaimana
operasi forex dijalankan. Sesuatu perdagangan forex dijalankan dengan cara
membuka posisi (open position) terhadap instrumen yang dipilih. Kemudian,
diakhiri dengan menutup posisi (close position) terhadap instrumen tersebut.
Sebagai contoh,
anda mahu membuka posisi long terhadap instrumen EUR/USD, dengan maksud anda
akan membeli mata wang euro dengan membayar mata wang dollar USD.
Di dalam
syariah, tuntutan qabd daripada transaksi ini ialah anda hendaklah menyerahkan
mata wang USD kepada broker; dan broker hendaklah menyerahkan mata wang EUR
kepada anda.
Dalam forex
online, berlakukah dua perkara tersebut? Jawapannya: Broker tidak akan
mengkreditkan serta-merta mata wang yang anda beli ke dalam akaun anda. Jadi,
anda yang membuka posisi membeli instrumen EUR/USD tidak akan selama-lamanya
dapat membuat qabd terhadap mata wang EUR yang anda beli, kerana selagi posisi
yang anda buka masih dalam status ‘OPEN’, anda tidak
akan dapat menikmati segala keuntungan daripada kenaikan harga mata wang
yang anda beli dan tidak mungkin anda dapat membuat pengeluaran (withdrawal)
wang tersebut, sehingga anda membuat ‘CLOSE’ terhadap
posisi tersebut atau dengan kata lain anda menjual balik mata wang yang
anda beli tadi.
Contohnya, anda
membuka posisi long terhadap EUR/USD pada harga 1.4500 sebanyak 10,000 unit.
Kemudian, anda menutup posisi tersebut pada harga 1.4550. Anda mendapat
keuntungan sebanyak 50 pip.
Dalam contoh
ini, apabila anda membuka posisi long, anda dikira membeli EUR10,000 dengan
membayar USD14,500. Kemudian, anda menjual balik EUR10,000 dengan mendapat
USD14,550. Anda untung USD50.
Maka di sini
timbul isu ketiadaan qabd terhadap mata wang yang dibeli oleh anda ketika membuka
posisi long (membeli instrumen EUR/USD). Ini kerana selagi anda tidak menutup
posisi pertama, anda tidak mungkin dapat menikmati apa-apa keuntungan sebenar
daripada kenaikan harga EUR berbanding USD.
Jadi qabd tidak
berlaku kerana mata wang yang dibeli ketika membuka posisi tidak akan
dikreditkan ke dalam akaun pedagang, sehingga mata wang tersebut dijual balik
kepada broker ketika penutupan posisi.
Isu penjualan
mata wang yang tiada dalam pegangan
Sebagaimana
disebutkan tadi, trading forex berlaku dengan ikatan antara dua transaksi iaitu
open position dan close position terhadap instrumen yang dipilih. Jika ketika
open position, trader membeli EUR dan menjual USD (Buy EUR/USD), maka ketika
close position, dia akan menjual EUR dan membeli USD (sell EUR/USD).
Ketika close
position, trader akan menjual balik EUR yang dibelinya. Di sinilah berlakunya
isu syariah. Kerana ketika trader membuat penutupan posisi (close position),
dia akan menjual balik mata wang yang dibelinya daripada broker, sedangkan dia
belum lagi melakukan qabd terhadap mata wang yang dibelinya.
Dalam satu
hadis, Nabi SAW bersabda: “Tidak halal hutang
dan jual beli, (pengenaan) dua syarat dalam satu (transaksi) jual beli,
(mendapat) keuntungan (daripada) sesuatu yang tidak dijamin dan jual
beli sesuatu yang engkau tidak miliki. (riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).
Antara maksud ‘mengambil keuntungan daripada suatu yang tidak dijamin’ ialah
mengambil keuntungan daripada jualan suatu yang tiada dalam pegangan.
Jadi,
perdagangan forex secara dalam talian didapati tidak menepati tuntutan syarak
kerana trader yang membuka sesuatu posisi akan menutupnya balik, atau dengan
kata lain membeli sesuatu instrumen dan menjualnya balik sebelum berlakunya
qabd terhadap mata wang yang dibelinya. Ia termasuk dalam larangan hadis yang
dikemukakan tadi.
0 comments:
Post a Comment