Seperti biasa,
buka mata pagi tadi saya terus mengimbas berita terkini di Internet. Berita di
Facebook, sebenarnya. Facebook lebih pantas dari media perdana. Terkejut baca
Karpal Singh sudah arwah.
Sambil bersiap
untuk ke tempat kerja dan membaca pengesahan berita dari media, layar hitam
putih sumbangan Karpal Singh kepada negara berputar dalam fikiran.
Sebagai rakyat
Malaysia yang tak terlepas dari menjadi mangsa percaturan politik dan naluri
membentuk teori konspirasi, kontroversi hudud juga bermain di kepala. Mana
tidaknya, nama mendiang seolah sudah sinonim dengan isu itu. “Tiap yang hidup
pasti mati”, fikir saya.
Kemudian
kawan-kawan di Facebook mengongsi berita
yang mula mengganggu fikiran saya.
Zulkifli
Noordin, hero kita, sekali lagi muncul menyarungkan pakaian Super Muslim ketika
saat-saat genting. Dengan penuh dedikasi, Zul hero kita merasakan mulutnya
perlu dibuka, dia perlu berkata sesuatu atas berita kematian Karpal.
Allah sudah
mematikan Karpal, Zul menulis dengan penuh
semangat. Yakinlah Zul bahawa Islam sudah menang. Barangkali air mata jernih
turun membasahi pipinya dan hingus membasahi bibir kerana terharu dengan apa
yang dikira Zul sebagai kemenangan usaha Pas dengan kerjasama parti Islam UMNO
yang mahu menegakkan syariat Tuhan di bumi Kelantan. Musuh sudah disingkirkan
Allah. Zul harus tweet rasa syukurnya. Zul harus berkata sesuatu. Ini Zul, Zul
Kulim. Zul boleh!
Dan Zul telah
melakukannya.
Belas Kasihan Dalam Islam
Dalam Islam,
atau mana-mana agama, wujud konsep belas kasihan. Malah orang tidak beragama
juga memahami konsep belas kasihan. Hatta binatang punya belas kasihan. Belas
kasihan ini selemah-lemah naluri yang menyatukan manusia.
Manusia tidak
dipaksa menyintai manusia lain keseluruhannya, tapi ia ada sedikit perasaan
belas kasihan sekurang-kurangnya. Belas kasihan ini lah melahirkan rasa hormat
kita pada orang lain terutama yang ditimpa musibah. Belas kasihan mampu
membuatkan kita faham adab hidup bermasyarakat, apatah lagi dalam masyarakat
berbilang kaum dan agama.
Bila kematian
berlaku, manusia akan merasa tersentuh, jika tidak sebak, sekurang-kurangnya
terharu, tergamam. Naluri belas kasihan manusia paling tidak pun akan
membuatnya merasakan perlu diam sebagai tanda hormat. Kalau manusia tidak
peduli pun, benar-benar dia tidak peduli dan berdiam.
Zul tidak ada
naluri asas ini.
Muncul pula
kemudian Datuk Nawawi Ahmad. Bangun pagi, dia merasakan ini hari yang indah
maka membuatkannya terangsang untuk berjenaka. Kebetulan terbaca berita
kematian Karpal, dia pun merasakan rangsangan berjenaka itu semakin kuat,
seperti rangsangan seks yang tidak dapat dibendung.
Nawawi pun
bertungkus lumus menghasilkan gambar dengan sedikit bakat yang dipelajarinya
dari fenomena budaya meme di Internet. Ya, Nawawi sudah berjaya. Langsung
butang post ditekan dan dia menunggu dengan penuh ghairah. Peluh membasahi
dahinya. ‘Like’ yang pertama sudah cukup membuatkan Nawawi inzal. Nawawi pun
terbaring keletihan, tersenyum puas.
Rasa malu juga
membuatkan manusia tidak bertindak di luar batas norma masyarakat. Seperti mana
manusia malu berjalan telanjang di tengah-tengah Kuala Lumpur begitu juga
manusia malu mengetawakan orang yang telah mati (telanjang di Langkawi pun
bukan perkara biasa). Manusia malu pada keluarga si mati dan malu untuk diri
sendiri, malu menimbulkan kemarahan dan malu jika diejek tidak
berperikemanusiaan.
Kedua-dua
spesimen bergelar Zul dan Nawawi tidak dianugerahi Tuhan dengan naluri belas
kasihan dan perasaan malu barangkali. Lebih dari itu, mereka tidak memahami
budaya dan norma masyarakat, juga mempunyai pemahaman agama yang cetek. Saya
meragui status kewarganegaraan mereka. Lebih dari itu, saya meragui status
kemanusiaan mereka.
Takziah
diucapkan kepada agama Islam kerana punya orang-orang seperti Zul dan Nawawi.
Islam di Malaysia nazak dan akan mati jika virus Zul Nawawi dibiarkan merebak.
Karpal Singh
akan terus diingati untuk jasa-jasa beliau kepada negara. Apa sahaja fahaman
agama dan politik kita, kita tidak dapat menafikan beliau seorang manusia yang
hebat dan berdedikasi pada keadilan dan kesaksamaan. Jasa beliau pada keadilan
sosial mungkin lebih banyak dari jumlah kuman dalam otak Zul Noordin dan
Nawawi. Keluarga dan rakan-rakan akrab beliau lebih mengenali hati budi beliau.
Ke mana Karpal
Singh setelah mati bukan urusan saya, bukan urusan anda. Karpal Singh kembali
menghadap mahkamah Ilahi. Biarlah sang peguam dan hakim berentap sesama mereka.
0 comments:
Post a Comment