Kuala Terengganu
| “Teruskan perjuangan Islam.” Itu pesanan keramat terakhir Datuk Harun Taib
kepada anak sulungnya, Hilmi Harun, sebelum Allahyarham menghembuskan nafas
terakhirnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal pagi semalam.
Ketua Dewan
Ulama PAS Pusat itu meninggal dunia pada usia 71 tahun, jam 12.17 pagi, akibat
komplikasi penyakit kencing manis yang semakin serius sejak seminggu lalu.
Hilmi, 36, yang
menyifatkan pemergian bapanya ke rahmatullah sebagai kehilangan sebutir permata
pejuang Islam berkata, keadaan Allahyarham mula tidak stabil sejak seminggu
lalu kerana mengalami luka yang mula merebak hingga menyebabkan jangkitan
kuman.
“Beberapa hari sebelum
dimasukkan ke hospital, penyakit kencing manis dihidapinya semakin serius dan
tidak stabil. Allahyarham mengalami luka yang kemudian merebak dan menyebabkan
jangkitan kuman kepada organ dalaman termasuk buah pinggang.
“Kami sekeluarga
reda dengan kematian bapa dan pemergian beliau adalah sebagai seorang pejuang
Islam. Sudah sampai masa bapa ‘berehat’ sebagai seorang pejuang Islam. Seluruh
anak didik Allahyarham akan menyambung perjuangan Islam yang dipelopori dan
diasuh oleh beliau.
“Malah, sebelum
meninggal dunia, Allahyarham juga sempat berpesan kepada saya supaya terus
teguh dan tabah dalam memperjuangkan Islam dan saya akan pegang amanatnya itu,”
katanya sambil menambah keadaan kesihatan bapanya kurang stabil sejak 2010 dan
pernah mengalami minor strok.
Perkuburan persendirian
Jenazah
Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir selama lima
penggal selamat dikebumikan di tanah perkuburan persendirian milik keluarganya
di Kampung Padang Ujib, Manir, di sini, jam 11 pagi semalam.
Terdahulu
jenazah Allahyarham yang dikenali sebagai pemimpin PAS paling lantang
memperjuangkan hak Islam termasuk isu kalimah Allah dan hudud, disembahyangkan
di Markaz Tarbiyah PAS (Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah) di Kubang
Lembek, Manir, jam 10 pagi.
Lebih 5,000
orang termasuk pemimpin kanan PAS dan pemimpin Barisan Nasional (BN) menziarahi
dan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan dengan berjalan kaki tiga kilometer.
Antara pemimpin
yang hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Komunikasi dan
Multimedia, Datuk Jailani Johari; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd
Zubir Embong; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob; Setiausaha Agung PAS,
Datuk Mustafa Ali; Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail dan Pengerusi Tabung Haji,
Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Suasana di tanah
perkuburan juga sayu dengan esak tangis hadirin yang meratapi pemergian
Allahyarham. Malah, Abdul Hadi yang terlalu sebak dengan kehilangan rakan
seangkatannya itu dilihat beberapa kali menyeka air mata.
Presiden PAS itu
enggan ditemu bual media kerana terlalu sedih.
0 comments:
Post a Comment