MELAKA - Seorang
lelaki berwajah ‘ayu’ dan bertubuh kecil menyamar sebagai doktor perubatan
serta memperdaya lima klinik di daerah ini bagi membolehkan dia diterima
bekerja secara sambilan.
Lelaki berusia
26 tahun dikenali ‘Doktor Ika’ yang sering berbaju kurung dan bertudung itu
turut memalsukan Sijil Perakuan Amalan Tahunan bagi meyakinkan majikan untuk
mengupahnya dengan bayaran maksimum RM45 sejam.
Dia yang tidak
pernah menamatkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan dan kejururawatan di
institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor dan Selangor itu dikatakan memberi
lebih perhatian kepada pesakit lelaki yang datang mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun
penyamarannya terbongkar apabila sebuah klinik di Batu Berendam menerima aduan
seorang isteri pesakit memberitahu suspek sering menghubungi suaminya.
Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Soh Hock Seng berkata, aduan
itu kemudian membawa kepada pendedahan penipuan suspek selepas pihak klinik
membuat pemeriksaan terhadap latar belakang peribadinya lalu membuat laporan
polis pada 8 April lalu.
“Bertindak atas
aduan pihak klinik, sebuah pasukan khas ditubuhkan dan seorang daripada pegawai
kita terpaksa menyamar menjadi pesakit sebelum suspek ditahan 11 April lalu di
Batu Berendam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
di sini, semalam.
Hock Seng
berkata, selain cop (rubber stamp) dan Sijil Perakuan Amalan Tahunan dirampas,
siasatan awal juga mendapati suspek berasal dari Sabah itu menetap di Ampang,
Kuala Lumpur dan menyewa sebuah rumah di Batu Berendam di sini.
“Dia dipercayai
menyamar sebagai doktor palsu di Melaka sejak Januari lalu dan menggunakan
salinan sijil daripada Majlis Perubatan Malaysia ketika memohon bekerja sebagai
doktor sambilan di lima klinik di Sungai Udang, Batu Berendam dan Melaka Baru.
“Salinan sijil
dicetak itu mempunyai nombor siri yang sebenarnya milik pegawai perubatan lain
tetapi digunakan suspek yang dibayar gaji antara RM40 hingga RM45 sejam,”
katanya.
Menurutnya,
suspek dipercayai aktif melakukan penipuan sejak tahun lalu dan menggunakan
helah sama di Perak dan Pahang sebelum memasuki Melaka awal tahun ini.
“Justeru, pihak
yang terdiri daripada pemilik-pemilik klinik dan pesakit yang menjadi mangsa
diminta tampil buat laporan bagi membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen
419 Kanun Keseksaan kerana menyamar untuk tujuan menipu,” katanya.
Hock Seng
berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 15 April ini.
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment