KUALA LUMPUR - Imam dan khatib
Masjid Nabawi, Fadhilatul Al-Syeikh Solah Muhammad Al-Budair, akan berada di
negara ini mulai esok sehingga 4 Mei ini sebagai tetamu kerajaan Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata, Fadhilatul Al-Syeikh
Solah akan berada di beberapa lokasi di negara ini sepanjang kunjungannya itu
antaranya mengimamkan solat Zohor di Masjid As-Syakirin, KLCC pada Sabtu ini.
Beliau juga akan memimpin solat
Jumaat dan menyampaikan tazkirah Jumaat di Masjid Negara dan Masjid Putra,
Putrajaya masing-masing pada 26 April dan 3 Mei, katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Sepanjang berada di negara ini,
Fadhilatul Al-Syeikh Solah juga dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku
Abdul Halim Mu'adzam Shah dan mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selain bertemu anggota Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa peringkat kebangsaan.
Pada 24 April, Fadhilatul Al-Syeikh
Solah dijadual menyampaikan seminar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM).
"Kehadiran beliau ke Malaysia
diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi
dalam pembangunan hal ehwal Islam di negara ini,” katanya.
Fadhilatul Al-Syeikh Solah
merupakan imam dan khatib Masjid Nabawi sejak 1999 sehingga kini dan merupakan
hakim Mahkamah Agung Madinah.
Beliau juga pernah memangku Imam
Besar Masjid Nabawi dari 2011 hingga 2012 dan pernah menjadi Imam tarawih Masjidil
Haram pada 2005 dan 2006.
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment