DUNGUN - Akibat
terpengaruh dengan ajaran sesat yang dipelajari menerusi internet, seorang anak
sanggup memotong kemaluan bapanya sebelum bertindak memotong kemaluannya
sendiri di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, di sini awal hari ini.
Dalam kejadian
kira-kira pukul 1.30 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai penyelia sebuah
kilang di ibu negara turut bertindak memaksa abang iparnya memotong kemaluan
sendiri namun lelaki tersebut berjaya melarikan diri.
Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata, suspek yang menetap di
Balakong, Selangor pada mulanya pulang untuk bercuti bersama keluarganya di
kampung sejak minggu lepas.
Namun selepas
lima hari bercuti di kampung, suspek mengambil keputusan menghubungi ahli
keluarganya yang lain untuk berkumpul di rumah tersebut bagi menyampaikan
'amanat' yang mustahak.
"Ketika
sebahagian ahli keluarga berkumpul sejak petang semalam, suspek mula berkongsi
dan berceramah mengenai ajaran sesat yang dipelajarinya dengan mengatakan dunia
akan kiamat pada Jumaat.
Bagaimanapun
suspek tidak memberikan tarikh sebenar hari kiamat seperti yang didakwa
berlaku.
"Suspek
kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dengan merotan dan memukul
bapanya bagi membuatkan warga emas itu menangis untuk 'mengeluarkan semangat
Imam Nawawi' daripada badan bapanya, namun gagal," kata Manoharan ketika
ditemui di pejabatnya di sini.
Manoharan
berkata setelah gagal membuatkan bapa menangis, suspek meminta sebilah pisau
dari abang iparnya sebelum meluru masuk ke bilik tidur bapanya dan bertindak
memotong kemaluan bapanya sebelum memotong kemaluannya sendiri.
Akibat kejadian
itu, suspek dan mangsa yang berusia 67 tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital
Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat mengalami pendarahan yang banyak.
Beliau berkata
suspek dan mangsa kini masih berada dalam keadaan kritikal dan pihak hospital
sedang berusaha untuk menyambung semula kemaluan dua beranak itu yang terputus.
"Justeru,
kita percaya suspek terpengaruh dengan ilmu sesat yang dipelajari menerusi
internet hasil siasatan yang dijalankan," katanya.
Kes disiasat di
bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Sementara itu,
isteri suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Suzi, 33, berkata suaminya mula
menunjukkan perubahan sejak dua bulan lalu.
Namun beliau
tidak mengsyaki sesuatu yang pelik dan hanya menyangka suaminya ingin berubah
dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
"Suami
telah balik ke kampung sejak lima hari lalu dan dia ada mengajak saya pulang
namun saya kata tidak dapat pulang bersamanya kerana anak masih bersekolah.
"Saya tiba
di kampung suami kira-kira pukul 5 pagi tadi dan terkejut ketika sampai ahli
keluarga menyuruh segera ke Hospital Dungun sebelum mendapati suami dan ayah
mertua saya cedera," katanya ketika ditemui di hospital.
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment