MARANG: Hampir
90 pelajar lelaki Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila, Marang kehilangan tempat
tinggal, pakaian serta buku pengajian sekolah apabila sebuah bangunan asramanya
hangus terbakar.
Kejadian
tersebut berlaku kira-kira jam 9.40 pagi ketika semua penghuni asrama di blok B
tersebut berada di kelas pengajian masing-masing.
Harakahdaily
dimaklumkan, kesemua pelajar asrama berkenaan tinggal sehelai sepinggang kerana
api terlalu marak sehingga gagal menyelamatkan harta bendanya.
Pengerusi Dana
Pembangunan MDQ, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata bangunan asrama lelaki
tersebut berusia lebih 28 tahun sejak sekolah MDQ ditubuhkan.
Katanya, asrama
yang terbakar itu menempatkan pelajar-pelajar lelaki tingkatan dua dan tiga
dari Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.
“Ini bangunan
kayu yang dijadikan asrama pelajar lelaki sejak lebih 28 tahun lalu apabila
sekolah (MDQ) ditubuhkan di Rusila ini. Semua pelajarnya, tinggal sehelai
sepinggang dan kehilangan tempat tinggal, pakaian, buku-buku sekolah dan harta
benda yang tidak dapat diselamatkan,” ujarnya ketika ditemui di lokasi kejadian
hari ini.
Menurutnya, api
terlalu marak dengan tiup angin yang kuat menyukarkan kerja-kerja memadam
kebakaran tersebut.
Seorang penghuni
asrama, Mohd Afifuddin Awang Luding, 16, mula menyedari kebakaran asramanya
ketika keluar ke kantin asrama.
Namun, katanya
usaha para pelajar dan orang kampung untuk memadam kebakaran tersebut tidak
berjaya kerana api besar dan angin kencang.
“Saya dan semua
rakan-rakan kini tinggal sehelai sepinggang, pakaian hilang, buku-buku dan
harta benda lain habis hangus terbakar.
“Ini (kebakaran)
sudah ditakdirkan dan kami redha dengan ujian dan musibah yang tentu ada hikmah
Allah SWT,” ujarnya.
Menurutnya,
perasaan sedih dan sayu turut menyelubungi hati kerana sayang kepada asrama dan
sekolah MDQ.
Manakala, Mudir
MDQ, Ustaz Yasin Salleh menyifatkan kebakaran asrama tersebut suatu ujian yang
mempunyai hikmat tertentu.
Katanya, mungkin
selepas ini akan datang sumbangan orang ramai bagi membolehkan pihak pengurusan
sekolah menyiapkan satu blok asrama lelaki yang masih dalam pembinaan.
“Saya merayu dan
memohon para dermawan, tokoh korporat dan orang ramai yang simpati dengan pusat
pengajian Islam (MDQ) ini untuk membantu kami menyiapkan sebuah lagi blok
asrama untuk pelajar lelaki,” ujarnya.
Menurutnya,
sumbangan orang ramai boleh diteruskan melalui akaun di Bank Islam Malaysia
Berhad (BIMB) atas nama Ma’ahad Darul Quran A/C: 13017010011956 atau hubungi
019-985 4348 (mudir).
Pada kejadian
tersebut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama-sama para
pelajarnya dan penduduk kampung berusaha memadamkan kebakaran tersebut dengan
air sebelum Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba.
0 comments:
Post a Comment