Bentong: Seorang
perogol bersiri dituduh di Mahkamah Majistret di sini dan Mahkamah Sesyen Raub
semalam atas tujuh tuduhan berasingan membunuh, meliwat dan merogol hingga mati
mangsa bawah umur antara 2009 dan 2011.
Bagi tuduhan
pertama, penganggur, Rabidin Satir, 42, dituduh membunuh mangsa berusia 17
tahun di sebuah rumah di Kampung Ketari di sini, antara jam 11.30 malam, 7 Mac
2009 dan 1.50 tengahari, keesokan harinya.
Tertuduh dari
Tambunan Sabah, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman mati mandatori.
Rabidin yang
tidak diwakili peguam turut menghadapi tuduhan kedua, merogol sehingga
menyebabkan kematian mangsa sama di tempat dan hari sama.
Bagi tuduhan
itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (4) kanun sama, yang membawa hukuman
mati atau penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan.
Tiada Pengakuan Direkod
Tertuduh yang
memakai baju lokap polis berwarna oren, mengangguk faham sebaik tuduhan
dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Tiada pengakuan
direkodkan daripada tertuduh.
Majistret
Nurliana Ismail menetapkan 17 Januari ini untuk sebutan kes dan tidak
membenarkan jaminan.
Di Mahkamah
Sesyen Raub dekat sini, Rabidin dituduh atas lima tuduhan berasingan merogol
dan meliwat empat mangsa termasuk dua kanak-kanak berusia lapan dan sembilan
tahun.
Rabidin mengaku
bersalah merogol kanak-kanak berusia sembilan tahun di bilik sebuah rumah di
Taman Sri Marong di sini, antara jam 2 dan 3 pagi, 9 Julai 2009.
Bagaimanapun,
dia mengaku tidak bersalah bagi empat lagi tuduhan iaitu merogol mangsa berusia
17 tahun di bilik sebuah rumah di Jalan Kuala Lumpur di sini, antara jam 1 dan
3 pagi, 21 Jun 2010; merogol kanak-kanak berusia lapan tahun di tepi sungai
belakang rumah di Lorong Gementi 1 Ketari di sini, antara jam 12.30 tengah
malam dan 1 pagi, 29 April 2011; merogol mangsa berusia 16 tahun di bilik
sebuah rumah di KT 11 Ketari di sini, antara jam 1 dan 2.30 pagi, 12 Oktober
2011 dan meliwat mangsa sama di tempat dan hari yang sama.
RSS Feed
Twitter
Facebook
0 comments:
Post a Comment