SHAH ALAM -
Sambil menyifatkan isu Amanat Haji Hadi sebagai “kisah lama”, bekas Mufti Perlis,
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, adalah lebih baik
sekiranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penarikan secara
rasmi amanat yang pernah diberikan kepada ahli PAS lebih tiga dekad lalu.
Menurutnya,
amanat yang berbunyi UMNO itu kafir diungkapkan Hadi sewaktu angin kebangkitan
Islam kira-kira 30 tahun lalu.
“Sungguhpun ahli
PAS hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, tetapi Hadi wajar membuat
penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat.
“Ini perkara
lama. Amanat tersebut diungkapkan ketika zaman muda beliau (Hadi). Ketika itu
angin kebangkitan Islam mempengaruhi segenap pemuda ditambah dengan ketegangan
sistem Perlembagaan yang menjadi teras negara ini,” katanya kepada Sinar Harian
mengulas gesaan dua mufti agar Hadi menarik balik amanat beliau.
Katanya, perkara
sama turut berlaku kepada ramai tokoh-tokoh pemimpin muda pada ketika itu. “PAS
sekarang sudah lain. Saya melihat kepimpinan hari ini sudah tahu hala tuju
perjuangan mereka. Hadi juga sudah bertemu dengan pemimpin parti lain termasuk UMNO.
“Jadi, ahli
parti itu sudah boleh mengagak dan tahu amanat lama sudah tidak ada lagi,”
katanya.
Menurutnya,
penggabungan PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) juga memperlihatkan parti itu
semakin realistik dalam perjuangan politik mereka.
“Jika dapat
dibuktikan, masih wujud ahli yang berpegang teguh dengan amanat seumpama itu,
bermakna Hadi perlu tampil membuat penarikan semula dengan segera,” katanya.
Tambah Asri, isu
lama ini seharusnya tidak lagi dibangkitkan kerana ia akan mengundang pelbagai
perkara lain yang boleh mendatangkan kontroversi.
“Seharusnya ia
dihentikan. Jika tidak, akan muncul macam-macam lagi termasuk isu 13 Mei. Tutup
buku lama.
“Semua pihak
perlu melihat ke depan bukan membongkar kisah lama lagi. Ia sudah tidak relevan
lagi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment